40% cukai: Kerajaan Persekutuan mulakan perbincangan teknikal dengan Sabah
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu kerajaan pimpinannya dianggap melengah-lengahkan proses perundingan bersama Kerajaan Sabah susulan pihaknya memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus ke atas negeri berkenaan.
Beliau memaklumkan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan kini telah menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi membolehkan rundingan dimulakan melibatkan soal-soal teknikal termasuk perkara yang disebut dalam penghakiman.
"Kemudian dalam jawatankuasa teknikal, tentunya dibincangkan untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri. Tentunya tunggu sehingga selesai pilihanraya di Sabah dan kerajaan baharu dibentuk.
"Tapi saya tidak fikir ia menghalang perbincangan teknikal terlebih dahulu untuk memudahkan perundingan.
"Sebab itu saya berterima kasih kepada Paya Besar (Datuk Mohd Shahar) kerana menekankan perbezaan antara dua isu ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Ahli Parlimen Mohd Shahar (BN–Paya Besar) meminta penjelasan sama ada Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti pihak yang akan dirunding memandangkan Sabah kini sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, serta adakah perundingan tersebut akan diputuskan melalui platform Majlis Tindakan MA63.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri apabila didakwa telah bertindak tanpa mengikut perlembagaan sejak 1974.
"Apakah kita boleh diam dan tidak membatalkan ‘expunged record’ yang menyatakan ia ‘illegal’, ‘irrational’, ‘procedurally improper’ atau misappropriated?.
"Ini belum pernah berlaku dalam keputusan mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh penubuhan kerajaan sejak dahulu.
"Tanggungjawab kita sebagai sebuah negara adalah menjaga hubungan baik antara negeri dan Persekutuan. Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan.
"Ada pihak yang lebih rasional yang sedia mengatur perundingan, sebab itu kalau menjawab rundingan itu boleh diadakan apabila hubungan itu baik, kalau boleh saya sambung,carilah kerajaan negeri yang ambil sikap lebih positif, jadi rundingan itu lebih baik dan lebih cepat.
"Jadi saya harap semangat perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut isu perkauman sempit, ia akan merugikan. Yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, elektrik dan jalan berlubang," katanya.





