Ziarah kasih Otai Reformis: Wanita KEADILAN hargai jasa pejuang awal parti
- Suara Keadilan

- 17 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meneruskan usaha menghargai jasa pejuang awal parti melalui program Ziarah Kasih Otai Reformasi.
Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Wanita Pusat (JPRWP) merangkap Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat Juwairiya Zulkifli berkata, Negeri Sembilan dipilih sebagai negeri pertama dalam siri Jelajah tersebut.
"Saya berkesempatan ke Negeri Sembilan pada Ahad lalu sebagai negeri pertama siri Jelajah JPRWP. Saya ditemani oleh Ketua Wanita Negeri, Puan Rosmawaty serta AJK MPWN Negeri Sembilan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Juwairiya, kunjungan dimulakan dengan lawatan ke kediaman mantan Timbalan Ketua Wanita Cabang Kuala Pilah, Rusni Idris di Juasseh sebelum diteruskan ke kediaman seorang lagi tokoh Otai Reformasi, Kak Esah di Senaling.
Suasana ziarah berlangsung dalam keadaan penuh mesra dan semangat kekeluargaan dengan pelbagai kenangan era awal Reformasi yang menyaksikan pengorbanan besar khususnya peranan Wanita KEADILAN turut dikongsikan kedua-dua tokoh berkenaan.
"Mereka menceritakan susah payah perjuangan pada ketika itu yang menyatukan semua dengan semangat keikhlasan dan iltizam tinggi terhadap perjuangan reformasi.
"Kak Esah turut menunjukkan kepada kami gambar kunjungan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke kediamannya suatu ketika dahulu, yang masih disimpan rapi sehingga kini," tambahnya menerusi hantaran tersebut.
Menerusi hantaran sama, Juwairiya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua tokoh tersebut atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membangunkan serta menggerakkan Wanita KEADILAN sejak awal penubuhan parti.
"Semoga Allah SWT merahmati kehidupan mereka sekeluarga dan membalas segala pengorbanan yang telah dicurahkan demi perjuangan parti," katanya mengakhiri perkongsian tersebut.









Comments