top of page

Ziarah Kasih Ambang Tahun Baharu Cina perkukuh keprihatinan Kerajaan Madani

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Jan 31
  • 2 min read

Datuk Farhan (kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 daripada Perdana Menteri
Datuk Farhan (kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 daripada Perdana Menteri

Program Ziarah MADANI sempena ambang Tahun Baharu Cina di Parlimen Indera Mahkota dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat pelbagai kaum terus diberi perhatian.


Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, beliau bersama pasukan minggu lalu telah mengadakan ziarah ke atas masyarakat Cina di kawasan tersebut sebagai usaha mendekati rakyat serta mendengar sendiri permasalahan di peringkat akar umbi.


"Usaha ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati masyarakat serta mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, program itu melibatkan lawatan ke 10 buah rumah penerima berdaftar dalam sistem e-Kasih di sekitar DUN Semambu, meliputi kawasan Bukit Setongkol, Chenderawasih, Bukit Sekilau, Air Putih dan Kampung Padang.

Datuk Farhan bertanya khabar warga emas yang dikunjungi, di kiri mantan MP Indera Mahkota, Dato' Seri Fauzi
Datuk Farhan bertanya khabar warga emas yang dikunjungi, di kiri mantan MP Indera Mahkota, Dato' Seri Fauzi

Katanya, pendekatan turun padang memberi ruang untuk berinteraksi secara langsung dengan keluarga terlibat, khususnya dalam memahami isu berkaitan kos sara hidup, kesihatan dan kebajikan keluarga.


Sebagai tanda keprihatinan, setiap keluarga yang diziarahi menerima sumbangan kewangan sebanyak RM500 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.


Lawatan tersebut turut disertai Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Pahang (ICU JPM Pahang) yang diketuai Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang, mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Fauzi Abd Rahman serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menjalankan bancian dan meneliti potensi bantuan lanjut.


"Inisiatif Ziarah MADANI ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama," ujar Ahmad Farhan.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pahang menambah bahawa pendekatan mendengar, memahami dan bertindak secara langsung akan terus diperkasakan sebagai asas tadbir urus berteraskan nilai ihsan, empati dan keadilan sosial.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page