top of page

Zeti Aziz perlu beri penjelasan tentang dakwaan 1MDB - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memberikan penjelasan terhadap pendedahan berhubung penglibatannya dan ahli keluarganya dengan 1MDB.


Presiden KEADILAN itu berkata pendedahan terbaru itu yang melibatkan transaksi dengan Jho Low dan bank-bank di Singapura menampakkan Malaysia masih jauh dalam mencari jalan keluar dari skandal 1MDB.


"Maklumat terkini berhubung kemungkinan keterlibatan Dr. Zeti dalam skandal 1MDB ini adalah berkait dengan pembekuan wang yang berasal dari dana haram 1MDB oleh pihak berkuasa di Singapura. Akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga Dr. Zeti.


"Beliau yang kini menjawat jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB dan apakah atas kapasiti sebagai Gabenor BNM beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik.


"Beliau juga mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low. Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini," katanya.


Anwar juga meminta kerajaan Singapura tampil memberi penjelasan.


"Skandal ini akan memberi dampak buruk kepada reputasi republik itu sebagai pusat kewangan terkemuka.


"Imej dan reputasi buruk kepada negara kesan dari skandal ini masih belum pulih sepenuhnya.


"Mereka yang mendapat faedah dan laba dari kes 1MDB ini mesti dibawa ke muka pengadilan. Mereka yang bersekongkol mesti juga bertanggungjawab kerana tidak mungkin skandal maha dahsyat ini terwujud tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.


"Kegagalan untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan.


"Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan, kebertanggungjawaban dan melawan rasuah.


"Sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula, banyak negara telah melakukan yang sepatutnya, termasuk mengenakan denda dan penalti ke atas bank-bank dan para eksekutif kewangan yang bersekongkol dalam skandal ini. Walhal di Malaysia, tempat asal dana haram ini, masih belum berbuat apa-apa yang ketara dan meyakinkan," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page