Zara Qairina: Inkues dibuka, kes berkepentingan awam – Peguam Negara
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan mengadakan inkues bagi menentukan punca dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, inkues susulan permohonan difailkan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
"Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan satu tarikh sebutan pada Isnin, 18 Ogos 2025 bagi menetapkan tarikh-tarikh pendengaran inkues tersebut.
"Kes ini adalah berkepentingan awam dan Jabatan ini akan memohon agar permohonan dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, tetapi juga kepada masyarakat umum," menurut kenyataan itu.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas dan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan unsur jenayah serta perlakuan buli.
Commentaires