top of page

Zaman PN, PH dapat peruntukan parlimen selepas tandatangan MoU

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 29, 2023
2 min read


Pemimpin Pas perlu meneliti peruntukan parlimen yang diperolehi Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ketika PN berkuasa pada 2020 - 2022 lalu sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan itu sewajarnya diperolehi Ahli Parlimen kerana ianya adalah 'hak yang perlu ditunaikan'.


Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru baru ini bahawa kerajaan PN memberi peruntukan kepada pembangkang perlu dibuat lebih cermat kerana peruntukan itu hanya diperoleh selepas menjalani proses rundingan dan perjanjian kerjasama.


"Tuan Ibrahim dinasihatkan berhenti daripada terus menipu rakyat dan menjadikan isu peruntukan parlimen sebagai modal politik murahan untuk menyebarkan kebencian terhadap Kerajaan Perpaduan.


"Suka untuk saya ingatkan beliau, semasa Perikatan Nasional menjadi kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen pembangkang daripada PH hanya mendapat peruntukan setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama pihak kerajaan pada 13 September 2021," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Azha, PH yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu telah bersetuju untuk menandatangani MoU demi menjamin kestabilan politik dan memastikan peruntukan dapat disalurkan bagi menjaga kepentingan rakyat.


Oleh itu, katanya, pembangkang PN pada waktu ini perlulah melalui proses yang sama sebelum mendapatkan peruntukan, dan hal itu telah ditawarakan berkali kali oleh Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan.


"Perikatan Nasional seharusnya berhenti menjadikan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sebagai modal politik serta perlu menasihatkan Ketua Pembangkang supaya segera mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan seperti yang telah ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar," katanya lagi.


Terdahulu, dalam satu laporan portal berita Tuan Ibrahim berkata, Pas menyerahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sama ada akan membuat rundingan berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.


Tuan Ibrahim berpendapat peruntukan itu perlu diberikan tanpa melibatkan sebarang rundingan kerana peruntukan itu adalah hak yang perlu ditunaikan kerajaan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page