Zaliha tolak dakwaan vendor sistem e-voting tidak dibincang Biro Politik
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) KEADILAN menolak dakwaan mengatakan bahawa pelantikan vendor bagi aplikasi sistem pemilihan tidak dibincangkan dalam Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, persoalan yang ditimbulkan sebelum ini dalam kedua-dua mesyuarat itu hanya membabitkan juruaudit, sebaliknya tiada perkara berbangkit berhubung pelantikan vendor pemasangan sistem.
"Saya masih selepas itu ada perbincangan dilakukan dalam Biro Politik dan MPP tentang lantikan vendor dan auditor. Ada perbincangan ketika itu, memang Rafizi tidak pertikai lantikan vendor.
"..yang dibincang dalam pertikaian (ialah) tentang lantikan auditor, kenapa sekarang bila dah selesai pemilihan Cabang nak pertikai lantikan vendor, macam tidak selari," katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook.
Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menjelaskan tuduhan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli yang turut mempertahan jawatannya pada pemilihan kali ini, bahawa vendor sistem tersebut dibuat secara senyap-senyap adalah tidak berasas sama sekali.
Menjelaskan kronologi tentang sistem aplikasi tersebut beliau berkata, aplikasi ADIL telah digunakan dalam pemilihan 2022 selain dimanfaatkan untuk sistem keanggotaan.
"Selepas lantikan Setiausaha Agung parti yang baharu, Dr Fuziah Salleh, beliau sarankan sistem keanggotaan ditambah baik dengan 26 entiti telah dikenal pasti.
"Jadi, itu bagi saya adalah perkara yang dilakukan jika sistem itu mahu digunakan kembali dalam pemilihan 2025.
Keputudsan dibuat dalam mesyuarat Biro Politik dan MPP serta telah diminitkan," ujarnya.
Tambah beliau MPP membuat keputusan pada 30 November 2024 lalu untuk pemilihan dilaksana menggunakan kaedah e-voting dengan mekanisme secara online dan fizikal.
"Itu keputusan yang dibuat dan ia adalah neutral jika mahu gunakan aplikasi ADIL daripada sistem keanggotaan, kita perluaskan kepada sistem pemilihan.
"Dalam keadaan masa dan sebagainya, maka diteruskan dengan vendor yang digunakan bagi penambahbaikan. Sistem keanggotaan itu pula dilantik sebagai vendor yang akan juga menambahkan sistem pemilihan 2025 dalam aplikasi ADIL," katanya.
Dalam pada itu, Zaliha mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret JPP dalam pertembungan antara calon pada pemilihan parti.
"Jangan heret JPP dalam pertembungan antara calon. JPP akan kekal sebagai satu badan bebas dan terus komited dalam memastikan perjalanan Pemilihan KEADILAN 2025 berlaku secara adil, bersih, bebas, telus dan berintegriti," tegasnya.