Jangan kaitkan kenaikan diesel tanpa subsidi dengan harga barang - AMK Melaka
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka membidas kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang didakwa cuba mengaitkan kenaikan harga diesel dan kesannya ke atas bekalan makanan dengan kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Muhamad Hakimin Mokhtar (gambar) berkata, sebagai mantan Timbalan Menteri beliau seharusnya memahami bahawa sektor logistik yang membawa barangan keperluan asas seperti beras, ayam dan sayur-sayuran menggunakan sistem 'fleet card' diesel bersubsidi.
Jelas beliau, mekanisme berkenaan diwujudkan bagi memastikan kos pengangkutan barangan asas terus dilindungi dan tidak terkesan secara langsung dengan harga diesel apungan berdasarkan harga minyak dunia tanpa subsidi.
"Dalam masa sama, turun naik harga minyak dunia ketika ini banyak dipengaruhi faktor geopolitik global termasuk ketegangan di Timur Tengah serta isu laluan perdagangan minyak di Selat Hormuz. Perkara ini jelas di luar kawalan mana-mana pemimpin negara.
"Walaupun berdepan tekanan pasaran global, kerajaan tetap mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui subsidi demi melindungi kebajikan rakyat.
"Kami menyeru agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu melibatkan kepentingan rakyat dan tidak menjadikan situasi ekonomi global sebagai modal politik semata-mata," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Mas Ermieyati menerusi satu hantaran di Facebook menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM3.92 seliter menjelang sambutan Aidilfitri.
"Minggu depan seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri. Tak lama je lagi. Kini kita berdepan pula harga minyak diesel yang naik mendadak 80 sen kepada RM3.92 seliter.
"Bayangkan keperluan kita semua nak menyambut Aidilfitri, barang dapur, kuih-muih dan pakaian, semuanya akan terkesan dek kenaikan 80 sen ini.
"Bak kata orang kampung den, bukan kocik anak naik eh," kata hantaran tersebut.
Bagaimanapun, kenaikan harga diesel tanpa subsidi tersebut hanya dirasai golongan yang tidak layak mendapat susbidi dan sama sekali tidak melibatkan sektor pengangkutan barangan keperluan rakyat.




Comments