Akmal Saleh jangan selektif bawa isu sensitif - Dr Sathia Prakash
- Azuan Ab Rahman

- May 2
- 1 min read

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh digesa bersikap konsisten dan tidak selektif dalam membangkitkan sesuatu isu terutama yang menyentuh sensitiviti awam.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Dr Sathia Prakash (gambar) berkata begitu sebagai mengulas gesaan Akmal Saleh yang secara terbuka menggesa pembatalan festival Rain Rave di Bukit Bintang tetapi tidak menyatakan pendirian serupa ketika Melaka Water Music Festival di Pantai Klebang diadakan dari 1 hingga 3 Mei.
"Persoalan yang timbul adalah mudah. Jika acara seperti itu dianggap tidak sesuai di Kuala Lumpur, mengapa pendekatan yang sama tidak diambil apabila acara hampir serupa berlangsung di Melaka bermula hari ini 1 Mei?
"Keadaan menjadi lebih signifikan apabila individu yang lantang mengkritik itu turut berada dalam kedudukan pentadbiran negeri, sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap konsistensi pendirian beliau," katanya dalam kenyataan.
Dr Sathia yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor sementara itu menegaskan, isu sebenar bukan terletak pada penganjuran festival berkenaan, sebaliknya pada prinsip digunakan dalam membuat penilaian.
"Adakah sesuatu itu salah hanya apabila ia berlaku di tempat tertentu atau prinsip itu sepatutnya kekal sama tanpa mengira lokasi?
"Jika berani mendesak pembatalan di satu tempat, maka harus berani mengambil pendirian yang sama di tempat lain," tambahnya.
Beliau sementara itu menegaskan, kritikan tersebut tidak bertujuan menyerang mana-mana individu terutama ADUN Merlimau itu, sebaliknya sebagai peringatan bahawa rakyat kini semakin peka dan kritikal dalam menilai tindakan pemimpin.
"Kredibiliti tidak dibina melalui kenyataan yang kuat dalam satu isu sahaja, tetapi melalui konsistensi dalam semua keadaan.
"Akhirnya, rakyat tidak menuntut kesempurnaan, tetapi keadilan. Dan keadilan itu bermula dengan satu perkara asas — jangan selektif," katanya.




Comments