top of page

Zainal Fikri bela nasib Orang Asli, selesai perumahan generasi kedua FELDA

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir (gambar) berikrar untuk memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli dan generasi kedua FELDA menjadi keutamaan sekiranya diberi mandat mewakili kawasan itu.


Beliau berkata, hasil siri jelajah ke kampung-kampung termasuk penempatan Orang Asli di DUN Sungai Lui mendapati masih terdapat penduduk yang hidup tanpa kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.


"Saya sudah berjalan ke banyak kampung termasuk kampung Orang Asli.


"Walaupun negara sudah merdeka selama 69 tahun, masih ada keluarga yang tidak mempunyai bekalan air bersih, elektrik dan masih tinggal di rumah kayu serta buluh.


"Perkara asas seperti ini tidak sepatutnya terus berlaku," katanya.


Menurut Zainal Fikri, masalah berkenaan sepatutnya telah lama diselesaikan melalui tindakan agensi berkaitan kerana ia membabitkan hak asas rakyat.


Beliau berkata, pengalaman sebelum ini menunjukkan pelbagai isu mampu diselesaikan apabila semua pihak berganding bahu, termasuk usaha membawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membaik pulih tandas di perkampungan Orang Asli.


Katanya, komitmen beliau adalah menawarkan khidmat yang dekat dengan masyarakat serta memastikan masalah asas di penempatan Orang Asli diselesaikan secara berperingkat.


Selain komuniti Orang Asli, beliau turut memberi perhatian terhadap isu perumahan generasi kedua FELDA yang menurutnya masih membelenggu ramai penduduk di kawasan berkenaan.


"Hari ini kita melihat ada satu lot rumah didiami tiga hingga empat keluarga.


"Keadaan ini tidak sihat dan memberi tekanan kepada kehidupan generasi muda di Felda. Isu ini perlu diselesaikan segera," kata Zainal Fikri.


Beliau turut membangkitkan keadaan projek perumahan generasi kedua di FELDA Pasoh 2 dan FELDA Pasoh 3 yang masih terbengkalai dan belum dapat didiami.


Menurutnya, sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat, beliau akan menjadikan penyelesaian isu perumahan generasi kedua sebagai antara agenda utama pembangunan DUN Sungai Lui.


Beliau berkata, kawasan seluas 124 ekar di Anak Air Kering, Felda Lui Barat telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai penempatan generasi kedua menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anak Felda memiliki kediaman sendiri.


Persaingan tiga penjuru di Sungai Lui akan menyaksikan pertandingan di antara Zainal Fikri, Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN) dan Mazrulhisham Abd Mansor (Bersatu).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page