Zaidi Jatil pemimpin pro masyarakat, sesuai dicalonkan di DUN Bandau - AMK Sabah
- Suara Keadilan

- Sep 24
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah dengan penuh keyakinan menyatakan sokongan padu kepada Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.6 Bandau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Dalam kenyataan bersama Ketua-ketua AMK Sabah dan Ahli Majlis Pimpinan AMK Sabah, sokongan itu dizahirkan berdasarkan rekod kepimpinan Zaidi yang konsisten, berani mengangkat suara rakyat serta kesungguhan beliau dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Kota Marudu, khususnya kawasan Bandau.
"Sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sabah, Saudara Zaidi Jatil telah membuktikan komitmen kepimpinan beliau dalam memperjuangkan isu-isu belia, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi setempat.
"Beliau bukan sahaja seorang pemimpin politik, tetapi juga aktivis masyarakat yang sentiasa turun padang bersama rakyat menghadapi cabaran seperti banjir, isu kemudahan asas, memperjuangkan isu kemudahan akses pendidikan, menyantuni orang kampung dan kerap melaksanakan program-program pembangunan belia," kata kenyataan itu.
Zaidi turut digambarkan sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat kerana kerap menyantuni komuniti kampung, memperjuangkan akses pendidikan serta melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.
"Keupayaan beliau berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan komuniti pedalaman membuktikan beliau calon yang dekat dengan denyut hati rakyat," kata AMK Sabah.
AMK Sabah percaya Zaidi membawa gagasan politik progresif dan selaras dengan semangat reformasi serta agenda Malaysia MADANI yang diperjuangkan KEADILAN.
"Rekod kerja lapangan beliau di Bandau memperlihatkan keprihatinan tulen terhadap masalah setempat.
"Semua ini menjadikan beliau calon yang bukan sahaja berwibawa, malah mampu membawa suara rakyat Bandau ke Dewan Undangan Negeri Sabah," jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, AMK Sabah menyeru agar Zaidi diberi peluang untuk bertanding sebagai calon PH di DUN Bandau pada PRN-17.
"Tiba masanya untuk kita memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk rakyat, membela kepentingan rakyat dan membawa harapan baharu dengan memberikan kepercayaan kepada anak muda untuk bersama memimpin Sabah," tegas kenyataan bersama itu.









Comments