Rohingya: Zahid umum persetujuan, Türkiye nafi — SEKPUR tuntut penjelasan


Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) menuntut penjelasan terbuka berhubung percanggahan antara pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai cadangan pemindahan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Türkiye dengan penafian pihak negara itu.
SEKPUR berkata, pihaknya memandang serius perkembangan berkenaan, khususnya selepas laporan penafian Türkiye pada 21 November lalu yang menimbulkan persoalan mengenai status sebenar cadangan berkenaan.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila penjelasan susulan menyatakan cadangan itu masih dalam proses penyelarasan dan belum dimuktamadkan.
Sehubungan itu, SEKPUR mengemukakan empat persoalan yang memerlukan jawapan pihak kerajaan, termasuk mengapa cadangan yang belum dimuktamadkan diumumkan seolah-olah sudah mendapat persetujuan.
"Adakah persetujuan rasmi Türkiye pernah diperoleh? Mengapa hantaran Facebook berhubung pengumuman tersebut dilaporkan, dipadam?
"Siapakah yang bertanggungjawab memastikan ketepatan pengumuman diplomatik negara?" tanya kenyataan itu.
SEKPUR menegaskan diplomasi antarabangsa bukan medan untuk membuat pengumuman mendahului pengesahan rasmi daripada negara yang terbabit.
Bagaimanapun, sekretariat itu berkata pihaknya tidak menuduh mana-mana pihak sengaja mengelirukan rakyat.
"Namun, percanggahan ini menuntut penjelasan terbuka, bukan sekadar kenyataan susulan," katanya.
Menurut laporan Sinar Harian semalam, Setiausaha akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed berkata, kenyataan awal mengenai cadangan inisiatif penempatan semula pelarian Rohingya di Turkiye di bawah program latihan kemahiran berstruktur, dikeluarkan kerana usaha ke arah pelaksanaannya sedang dijalankan dengan matlamat utama untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat.
Beliau berkata, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan sebelum cadangan itu diteruskan.
Penjelasan itu susulan hantaran Ahmad Zahid di Facebook yang mengumumkan cadangan inisiatif berkenaan sebelum ia dipadamkan sekali gus menarik perhatian orang ramai kepada status rancangan tersebut.
Pada Jumaat, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan bagi menangani kehadiran kumpulan etnik itu di negara ini dengan cara yang lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga kerana ia memberi mereka peluang untuk membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.




Comments