Zafrul tolak adakan PRK tanpa alasan munasabah
- Suara Keadilan
- Jun 9
- 2 min read

Spekulasi kononnya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah meninggalkan UMNO dan bakal diberi kedudukan sebagai wakil rakyat oleh parti tertentu melalui satu pilihan raya kecil (PRK) berakhir lewat kenyataan terbaharu beliau hari ini selepas selesai menunaikan ibadah haji di Mekah.
Menurut Zafrul, beliau menolak diadakan PRN atas sebab sebab yang tidak jelas apatah lagi sehingga membazirkan dana rakyat. Manakala kedudukannya sebagai Menteri Kabinet akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Berkenaan desas-desus penyertaan dalam mana-mana pilihan raya kecil, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini (meninggalkan UMNO).
"Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat.
"Saya akan terus melaksanakan tugas saya sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember 2025. Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang Menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara YAB PM," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan tujuannya meninggalkan dunia korporat lima tahun lalu kerana niat untuk berkhidmat kepada negara, dan selagi khidmatnya diperlukan, beliau bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan.
Dalam pada itu, Zafrul juga menegaskan keputusannya berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi sepenuhnya dan bukan atas sebarang paksaan.
"Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.
"Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini," katanya lagi.
Dalam kenyataan itu juga Zafrul mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, seluruh akar umbi, terutama UMNO Bahagian Kota Raja, dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh beliau bersama UMNO.
Spekulasi sebelum ini tercetus kemungkinan Zafrul akan diberi kedudukan sebagai wakil rakyat di Selangor dengan cara mengadakan PRK.
Comments