Yusmadi Yusoff membuat keputusan untuk kembali bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Beliau yang baru sahaja menamatkan khidmatnya sebagai senator Dewan Negara berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak setelah tidak bertanding sejak PRU 2008.
“Ini juga selepas mengambil kira nasihat dan pandangan keluarga terutama ibu dan isteri, saya dengan rendah diri berpendirian untuk menyahut saranan untuk kembali menawarkan diri di pilihan raya akan datang.
“Selepas lebih 20 tahun bersama perjuangan reformasi, saya percaya perubahan politik adalah sangat penting dan perlu diteruskan.
“Dengan sedikit pengalaman yang saya belajar 'learn dan unlearn' di dalam dunia politik dan mengambilkira keadaan semasa ianya bukan lagi menjadi satu pilihan, malah merupakan satu tanggungjawab kepada individu seperti saya untuk cuba melakukan tanggungjawab tersebut dengan sedaya mungkin.
“Selepas berbincang dengan isteri dan keluarga, ini adalah ikhtiar saya untuk mencuba melakukan perubahan kepada rakyat melalui jalur politik yang mana saya akui tidak mudah,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Pada masa sama, beliau juga percaya masih ramai lagi pemimpin-pemimpin yang lebih hebat dan layak untuk menjadi pemimpin.
“Saya hanyalah ingin menjadi tawaran alternatif dan sanggup bersaing secara sihat dengan bakat-bakat hebat negara yang ditawarkan kepada anda.
“Saya percaya cabaran dan harapan rakyat di pilihanraya akan datang berbeza dgn pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.
“Saya bercadang untuk memulakan gerak kerja awal mengambil kira masa yang terhad dan persediaan yg perlu dibuat terutama sekali 'orang biasa' seperti saya yang tidak mempunyai nama besar dan sokongan dana besar daripada taukey-taukey seperti calon-calon lain.
“Banyak perkara baru dan permasalahan baru yang perlu saya fahami dan pelajari. Segala bantuan, kepakaran, sumber kewangan dan material amat diperlukan.
“Perkara ini hanya dapat dilakukan sekiranya terdapat semangat muafakat yang kuat di kalangan rakyat dan pemimpin yang mempunyai cita-cita dan misi yang sama,” katanya.
Oleh itu, beliau mengajak dan mengalu-alukan mana-mana pihak untuk membantu beliau menjayakan misinya.
“Kepada yang mempunyai cita-cita dan misi yang sama dan percaya kepada kemampuan kita bersama, anda boleh DM nama dan contact. Saya akan hubungi anda untuk berbincang langkah seterusnya,” katanya.
Yusmadi yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang dengan latar belakang sebagai pengamal undang-undang mencipta sejarah memenangi kerusi Parlimen Balik Pulau apabila menewaskan calon Umno, Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi, menjadi calon pembangkang pertama yang merampas kerusi Balik Pulau daripada Barisan Nasional (BN) yang sudah menyandang kerusi tersebut sejak 1974.
Selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau, beliau tidak mempertahankan kerusinya pada PRU-13.
Namun, beliau kembali ke Parlimen apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 27 Ogos 2018 dan berkhidmat sehingga 26 Ogos 2021.
Comments