top of page

Yuneswaran sokongan padu jentera KEADILAN di DUN Melalap

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 22 minutes ago
  • 2 min read

Yuneswaran (kiri) bersama calon DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar yang bakal menggalas cabaran PRN
Yuneswaran (kiri) bersama calon DUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar yang bakal menggalas cabaran PRN

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, menegaskan komitmennya untuk bekerja keras bersama jentera KEADILAN Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah 2025 dengan semangat juang yang tinggi berteraskan amanah, tanggungjawab dan integriti.


Sebagai wakil rakyat angkat bagi DUN Melalap, beliau berkata KEADILAN bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran PRN akan datang, khususnya dalam memastikan kemenangan di kawasan angkatnya itu.


"Sebagai YB Angkat bagi Dewan Undangan Melalap, saya berdiri teguh bersama seluruh jentera KEADILAN Sabah dalam menyatakan komitmen penuh untuk menghadapi PRN Sabah 2025 dengan semangat juang yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan barisan calon bagi PRN kali ini, yang mana KEADILAN akan bertanding di 10 kerusi di seluruh Sabah, termasuk DUN Melalap di Tenom yang akan diwakili oleh Datuk Jamawi Jaafar.


"Dalam ucapan Presiden, beliau menegaskan bahawa Pakatan Harapan akan bertanding di 23 kerusi, bukan untuk bersaing sesama sendiri, tetapi untuk membentuk kerajaan Sabah yang stabil, inklusif dan berteraskan prinsip MADANI," jelas Yuneswaran.


Beliau turut menyifatkan kerjasama erat antara Pakatan Harapan, GRS dan Barisan Nasional sebagai bukti kematangan politik baharu di Sabah — satu pakatan dinamik yang menjamin hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.


"Dinamika politik, pola pengundian dan corak pemikiran rakyat telah banyak berubah sejak PRU14. Inilah masa untuk kita memilih pemimpin yang mampu mengangkat suara rakyat, membela nasib masyarakat luar bandar, dan mengubah kehidupan rakyat Sabah ke arah lebih sejahtera," katanya.


Yuneswaran turut menzahirkan komitmen berterusan membantu dan memperkukuh gerak kerja kempen Datuk Jamawi Jaafar di N.42 Melalap, sebagai simbol solidariti dan kekuatan pasukan KEADILAN dalam mendepani PRN kali ini.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page