top of page

Yuneswaran santuni penganut Hindu sempena Thaipusam di George Town

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Yuneswaran (berbaju merah) bersama penganut Hindu dan barisan pimpinan negeri di kuil meraikan Thaipusam
Yuneswaran (berbaju merah) bersama penganut Hindu dan barisan pimpinan negeri di kuil meraikan Thaipusam

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran hadir menyantuni masyarakat beragama Hindu sempena sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Shree Balathandayuthapani Devasthanam, George Town, semalam atas jemputan Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang.


Beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang dan Pengerusi Kuil, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji atas penganjuran majlis yang disifatkannya berlangsung dalam suasana tertib dan harmoni.


"Saya berbesar hati hadir menyantuni masyarakat beragama Hindu sempena sambutan Thaipusam di sini.


"Setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Tuan Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji atas penganjuran majlis yang penuh tertib dan harmoni," katanya dalam muat naik di media sosial.


Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM240,000 kepada pihak kuil sempena sambutan Thaipusam ke-240 tahun diraikan di lokasi tersebut.


Menurut Yuneswaran, pengumuman itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kebajikan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang.


Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying serta barisan pimpinan kabinet Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


"Saya sempat menyantuni para penganut serta sukarelawan daripada pelbagai latar belakang kerajaan dan swasta. Inilah wajah sebenar perpaduan Malaysia yang terus kita pelihara bersama," kata Yuneswaran lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page