Yayasan FELCRA rai 100 anak yatim berbuka puasa, beri sumbangan raya
- Suara Keadilan
- Mar 27, 2024
- 2 min read

Seramai 100 orang anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf AlBarakh Malaysia diraikan dalam Majlis Iftar dan Agihan Sumbangan Kasih Ramadan 2024 anjuran Yayasan FELCRA di Kuala Lumpur petang tadi.
Ahli Lembaga Pengarah Yayasan FELCRA, Noraini Nordin berkata, majlis yang dianjur dengan kerjasama Kumpulan Hal Ehwal Peserta agensi pembangunan tanah luar bandar itu diharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan menjelang Syawal.
"Penganjuran majlis ini merupakan satu inisiatif dan komitmen Yayasan FELCRA bagi menyantuni golongan anak yatim dan asnaf.
"Kumpulan Hal Ehwal Peserta pula menjadi ‘rakan strategik’ yang sentiasa memberi sokongan bersama-sama Yayasan FELCRA dalam menjayakan pelbagai program seumpama ini.
"Sekalung penghargaan dan terima kasih saya ucapkan di atas komitmen tinggi semua staf kumpulan ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Hadir sama Pengarah Hal Ehwal Peserta Mohamad Ab Rahman yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan FELCRA dan Setiausaha Eksekutif Yayasan FELCRA, Nasri Nyak Othman.

Noraini yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat berkata, program amal seumpama itu selaras dengan program Ihya’ Ramadan peringkat Ibu Pejabat FELCRA yang telah menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Iftar Perdana, Agihan Bubur Lambuk, Majlis Khatam al-Quran 30 Juzuk dan Siri Ceramah Agama waktu Zohor yang dilaksanakan sepanjang bulan suci ini.
"Yayasan FELCRA berharap pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang program Ihya’ Ramadan ini dapat melahirkan insan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.
"Secara tidak langsung ia turut memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan ukhuwah sebagai satu keluarga dalam kalangan warga FELCRA dan masyarakat yang memerlukan pembelaan dan pertolongan," ujarnya.
Tambah Noraini, pihaknya juga berharap inisiatif dan gerak kerja sedemikian dijadikan amalan oleh warga Yayasan FELCRA serta dijadikan teladan yang baik untuk pembangunan insan khususnya generasi yang berkualiti.
"Kita amat menyakini sesungguhnya amalan bersedekah dan berinfaq itu tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang semakin berkurangan sebaliknya mampu memperkasakan iman, membersihkan harta, memanjangkan usia serta mengoptimumkan rezeki yang dikurniakan Allah SWT," jelas Noraini di hujung ucapannya.
Comments