Pelbagai spekulasi timbul ke atas surat Akuan Berkanun (SD) yang dihantar oleh 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke 9 memerlukan Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah-langkah tertentu menentu sahkan dokumen berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, SD yang diragui seharusnya tidak diterima sebagaimana telah tertera dalam syarat pemakluman melalui surat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun tempoh hari.
Selain itu, kata Hassan, SD merupakan dokumen yang diiktiraf di bawah undang-undang menerusi Akta Akuan Berkanun 1960 dan pembuatannya perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas.
"Perakuan di dalam SD tidak boleh dibuat secara palsu atau dibuat di bawah tekanan, paksaan, pujukan, rayuan atau sebarang balasan.
"Orang yang mengikrarkan pernyataan bohong atau palsu di dalam SD melakukan kesalahan jenayah seperti kesalahan membuat laporan polis palsu.
"Di dalam dekri yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong meminta semua 220 orang ahli Dewan Rakyat menghantar SD mereka kepada Tuanku Agong untuk menyatakan siapakah pilihan mereka secara individu untuk menjadi PM Malaysia ke-9 telah mengenakan beberapa syarat.
"Antara syarat yang terpenting ialah seseorang ahli Dewan Rakyat itu mesti dengan jelas menyatakan satu nama sahaja sebagai calon PM yang disokong. Calon PM itu mesti seorang sahaja, tidak boleh lebih dan identiti calon itu mesti dinyatakan dengan jelas, tidak kabur," katanya.
Hassan yang juga seorang peguam menegaskan, semua SD berkenaan perlu ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan dibuat dengan rela hati bagi menjadikan dokumen tersebut boleh diterima serta bernilai.
Sekiranya keadaan membuktikan sebaliknya, kata Hassan, SD boleh untuk tidak diterima dan dianggap terbatal.
"SD itu perlu diikrarkan dan ditandatangani secara peribadi di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah, lazimnya perlu dinyatakan segala pernyataan di dalam SD dibuat secara “sesungguhnya dan sebenarnya”, suatu kalimat atau frasa yang membawa makna tidak ada sebarang bentuk tekanan, paksaan ataupun pujukan dalam mengikrarkan SD
"Sekiranya ada mana-mana SD gagal menyatakan dengan jelas siapakah calon Perdana Menteri yang disokong atau ada sebarang bentuk tekanan, paksaan ataupun pujukan maka perakuan SD tersebut bersifat ragu dan terbatal. SD sedemikian rupa perlu ditolak," katanya lagi.
Untuk rekod, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan semalam mempersoalkan ketelusan SD yang dibawa penyokong Ismail apabila Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin berkata sokongan gabungan itu kepada Ismail adalah bersyarat. Memberi makna 50 SD mungkin bermasalah sekiranya 'sokongan tanpa syarat' diambil kira.
Comments