top of page

“Minyak vs Nyawa”: Majlis Keselamatan PBB pentingkan minyak untuk industri?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Apr 4
  • 2 min read

Keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan cadangan penggunaan kekerasan bagi membuka Selat Hormuz sebagai bukti “kemunafikan terbesar” badan antarabangsa itu.


Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, tindakan tersebut menunjukkan keutamaan diberikan kepada kepentingan ekonomi khususnya aliran minyak, berbanding nyawa manusia yang terjejas akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah.


"Kemunafikan terbesar Majlis Keselamatan PBB jelas terserlah melalui keputusannya cadangan mengundi usul untuk menggunakan kekerasan bagi membuka Selat Hormuz supaya aliran minyak dapat disambung semula," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, selepas empat minggu serangan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel, Majlis Keselamatan dilihat bertindak pantas demi memastikan laluan kapal minyak kembali dibuka untuk memenuhi keperluan industri negara maju.


Namun, katanya, situasi berbeza berlaku di Gaza apabila penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan sekian lama tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Raja Bahrin Shah
Raja Bahrin Shah

"Lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza yang lemah dan miskin telah menderita selama dua tahun akibat kebuluran, genosid dan penyakit, namun tiada usaha bermakna untuk membuka laluan seperti Rafah atau akses lain bagi menyelamatkan mereka, sedangkan sekurang-kurangnya 70,000 telah terkorban," katanya.


Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keadaan itu sebagai gambaran ketidakadilan sistem global yang dipengaruhi kepentingan kuasa besar.


"Inilah bentuk keadilan ala kapitalisme Barat, di mana bahan api untuk industri diberi keutamaan berbanding nyawa bayi dan warga emas di Gaza," ujarnya.


Dalam pada itu, Raja Bahrin turut mengkritik penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat dalam Majlis Keselamatan PBB yang didakwa menghalang tindakan terhadap konflik yang melibatkan sekutunya.


Menurutnya, badan dunia itu juga gagal bertindak terhadap dakwaan serangan tidak sah ke atas Iran serta insiden melibatkan kemudahan awam termasuk sekolah.


"Tidak diendahkan bahawa Amerika Syarikat dan Israel memulakan perang tanpa provokasi; tidak diendahkan pembunuhan lebih 160 pelajar perempuan serta kira-kira 2,000 yang lain dalam serangan ke atas sekolah; dan tidak diendahkan bahawa Ayatollah, ketua negara Iran, terbunuh pada hari pertama serangan," katanya.


Beliau menambah, ketidakrelevanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semakin ketara, seiring kegagalannya menangani konflik global termasuk isu Palestin dan perang terdahulu seperti di Iraq.


"Sejarah akan mencatat ini sebagai salah satu kegagalan terbesar zaman moden apabila dunia dan PBB hanya berdiam diri sementara kuasa besar bertindak sesuka hati


"Bagaimana Iran harus bertindak selain mempertahankan diri? Malah negara-negara Teluk Arab yang turut terkesan oleh serangan balas Iran dilihat menahan diri daripada bertindak balas, mungkin kerana menyedari mereka turut terperangkap dalam tindakan tidak bertanggungjawab AS dan Israel," tegasnya.


Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa tiada resolusi tegas diluluskan untuk menangani kebuluran di Gaza atau konflik melibatkan Iran, sedangkan tindakan segera diambil bagi memastikan aliran minyak global tidak terjejas.


Beliau turut menegaskan dunia kini semakin bergerak ke arah sistem multipolar dan tidak lagi boleh menerima dominasi satu kuasa besar.


"Persoalannya kini, apakah peranan PBB jika Majlis Keselamatan terus dimanipulasi dan disalahgunakan?


"Mengapa tiada resolusi dibentangkan untuk menangani perang yang didakwa tidak sah terhadap Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel, termasuk serangan ke atas sekolah pelajar perempuan dan Ayatollah seorang ketua negara Iran?" tanyanya.


Tegas beliau, Amerika Syarikat dilihat jelas menggunakan pengaruh hegemoni bukan sahaja ke atas dunia, tetapi juga terhadap PBB yang semakin tidak berdaya dan hilang relevannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page