KRT Progresif perkasa komuniti, jana ekonomi setempat
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Bagi memperhebatkan lagi pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memperkenalkan inisiatif KRT Progresif yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi komuniti serta peningkatan taraf hidup penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj (gambar) berkata, inisiatif itu bertujuan memperkasa KRT melalui pelaksanaan projek ekonomi yang mampu menjana pendapatan komuniti, selain memperkukuh aspek keselamatan dan kepimpinan.
"Inisiatif KRT Progresif ini memperkasa KRT melalui projek ekonomi bagi menjana pendapatan komuniti dan meningkatkan taraf hidup. Ia menumpukan kepada lapan bidang utama termasuk ekonomi, keselamatan dan kepimpinan, dengan matlamat membangunkan komuniti mampan serta produktif, dan bukan sekadar tertumpu kepada rondaan keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perjumpaan bersama KRT Progresif Taman ImpianKu di Dewan Serbaguna TakanK, yang merupakan salah satu KRT Progresif di negeri ini.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut menyasarkan pemodenan serta penaiktarafan ratusan KRT di seluruh negara agar kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam lawatan itu, beliau turut melawat reruai projek ekonomi serta pejabat KRT Progresif Taman ImpianKu, selain beramah mesra dengan pemimpin dan penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan MADANI kepada penduduk sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ialah Pengarah JPNIN Pahang, Amira Abdullah, Timbalan Pengarah, Romy Rossziman Abd Rahman, Ketua Cabang Keadilan Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Zuraidi Ismail serta Setiausaha Sulit Kanan Pejabat Timbalan Menteri, Jaganathan N. Krishnasamy.




Comments