Persoalan bolehkah Yang di-Pertuan Agong meminta sidang Parlimen dibuka segera dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan seolah-olah Raja Berperlembagaan tidak mempunyai kuasa memberi arahan dan harus mendengar nasihat Perdana Menteri (PM).
Hal tersebut ditolak oleh pakar undang-undang Perlembagaan Dr Aziz Bari.
Menurut beliau merujuk takrif Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja boleh memberi nasihat kepada PM untuk bertindak, sebagaimana PM memberi nasihat kepada Agong untuk melakukan sesuatu.
"Raja Berperlembagaan (boleh) sama ada menasihatkan atau memberi amaran. Kerajaan kena dengar nasihat. Cuma Raja tidak memerintah, luluskan projek dan lain-lain, itu maksudnya (Raja Berperlembagaan).
"Sebab itu di England PM akan akan menghadap Ratu sebelum mesyuarat kabinet. Sebab itu baginda Ratu akan bertanya. Macam mana, keluh kesah ini macam mana? Bila Agong menyoal maka Baginda tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi. Kerajaan kena beritahu apa yang dia mahu tahu.
"Bila kerajaan nasihatkan buat A, Agong boleh tanya A itu apa? Kenapa jadi begitu?" katanya dalam forum maya anjuran NRChannelTV bertajuk: "Perlembagaan Malaysia: Kuasa Istana Atau Perdana Menteri", semalam.
Menjawab soalan moderator, apakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa simpanan sehingga boleh memecat PM pula, Dr Aziz berkata wujud duluan sebagaimana kes yang berlaku di Australia pada 1975 dan dikenali sebagai krisis 'the Dismissal'.
Namun, katanya, hal itu terlalu jauh untuk dibandingkan dengan amalan di Malaysia. Bagaimanapun beliau memberi jalan mudah untuk menyelesaikan krisis di negara ini dengan Agong bertanya kepada Ketua Pembangkang yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. Maka PM boleh ditukar dengan cara tersebut.
"Ada sejarah atau duluan di Komanwel, iaitu Gabenor Jeneral Australia, Sir John Kerr memecat PM Edward Gough Whitlam pada 1975. Tetapi ada latar belakang tertentu.
"Ketua Negara baik Raja, Ratu, Presiden seperti di India dalam keadaan tertentu tidak mustahil atau harus bagi mereka memecat PM.
"Cuma yang menjadi persoalan besar mampukah dia (Agong) buat walaupun sudah berlaku di Australia? (Jawapannya) tidak mustahil dan boleh dibuat
"Dalam keadaan sekarang, Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar) pernah menyatakan dia ada majoriti dan itu tidak dinafikan oleh Mahiaddin (melalui undian di Parlimen).
"Pada saya lebih ringan (mudah dilakukan) kalau dakwaan mengatakan si polan tadi ada majorti, (Agong) tanyalah. Kalau kata ada 120 kerusi katakan, maka belah sana dah kurang. (Mahiaddin) kena keluarlah," katanya Dr Aziz lagi.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN Perak itu menyifatkan krisis Perlembagaan kali ini berlainan dengan yang pernah terjadi pada 1980an pada era pentadbiran Tun Mahathir Mohamad, kerana ketika itu Raja dianggap 'bergaduh' dengan rakyat yang diwakili kerajaan BN.
Namun kali ini, katanya, Raja dilihat mempertahankan rakyat dan menjaga demokrasi berparlimen daripada diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Comentários