‘Reformasi Cita Bangsa’ tekad Amirudin perkukuh saf kepimpinan parti
- Suara Keadilan

- May 10
- 1 min read

Pemilihan KEADILAN 2025 menjadi medan bagi Menteri besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menebarkan agendanya untuk memperkukuh dan memperkemas kepimpinan parti.
Dengan tekad mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN, beliau berazam memperkuat parti bersama perjuangan calon timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar yang bertekad mahu memperkasa perjuangan reformasi dan menambah bilangan kerusi parlimen KEADILAN pada pilihan raya umum (PRU) ke 16 kelak.
"Matlamat utama pemilihan kali ini ialah untuk membentuk suatu pasukan yang berkeupayaan melaksanakan cita-cita Reformasi serta berkhidmat dan bekerja mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua.
"Menginsafi matlamat serta agenda ini, saya menawarkan diri mempertahankan jawatan Naib Presiden KEADILAN bagi sesi tahun 2025 – 2028.

"Hasrat ini juga sejajar dengan prinsip untuk memperkukuh KEADILAN sebagai parti politik unggul, paksi Reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amirudin lagi, tema kempen beliau kali ini untuk menyebar luas perjuangan reformasi amat sesuai dengan matlamat membina KEADILAN menjadi parti unggul memimpin Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan menjelang PRU akan datang.
"Dengan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, saya membawa gagasan yang sejajar tema ‘Bersama Membina Parti Kita’ oleh calon Timbalan Presiden, Saudari Nurul Izzah Anwar.
"Kita ingin perligat gerak jentera serta merapatkan saf anggota KEADILAN di samping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke 16," katanya.
Amirudin berkata, beliau akan mengulas dengan panjang lebar gagasan Reformasi Cita Bangsa tersebut kepada seluruh anggota KEADILAN dalam siri jelajah kempennya.









Comments