Kegagalan kudeta kerajaan 'pintu belakang' Perikatan Nasional (PN) terhadap pentadbiran Datuk Seri Panglima Shafie Apdal sewajarnya membuka mata rakyat Sabah terhadap ketokohan pemimpin pembaharuan.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Raymond Ahuar, tibalah masanya ikon pembaharuan Malaysia Timur itu digandingkan bersama tokoh pembaharuan Malaysia, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemarakkan lagi pembelaan ke atas rakyat Sabah.
"Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah berpandangan Datuk Seri Shafie wajar dikekal sebagai Ketua Menteri dan seterusnya menyelesaikan tugas-tugas yang beliau serta menteri kabinet Sabah sedang laksanakan sepanjang dua tahun memerintah.
"Beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat lantang bersuara terutama berkaitan isu Sabah termasuk dalam usaha menuntut semula hak negeri dikembalikan.
"Kami yakin dengan ketokohan beliau dan Datuk Seri Anwar. Kita berada di landasan tepat dalam mengangkat agenda Sabah.
"Sudah pasti gabungan antara Shafie sebagai Ketua Menteri dan Datuk Seri Anwar akan memudahkan usaha pengembalian hak Sabah sebagai sebuah wilayah serta hak rakyat Sabah lebih terbela," kata Raymond yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dalam satu kenyataan.
Menurut Raymond lagi, AMK Sabah mengalu-alukan tindakan bijak Shafie membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyekat cubaan khianat, seterusnya menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.
Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dihadapi oleh AMK dengan semangat juang tinggi mempertahankan negeri daripada dibuli perasuah tempatan dan dari Kuala Lumpur.
"Untuk itu AMK Sabah telah mengerahkan seluruh jentera pilihan raya bagi membantu calon-calon Pakatan Harapan, Warisan dan UPKO dalam mendepani PN pada PRN yang bakal diadakan pada bila-bila masa," katanya lagi.
DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin sebaik sahaja bekas Ketua Menteri Musa Aman mendakwa beliau memperoleh majoriti tipis untuk dilantik sebagai ketua menteri baharu.
Commenti