top of page

XPDC bersatu semula di pentas, mantapkan dakwah melalui seni - Dr Zulkifli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
20 hours ago
2 min read
Kumpulan XPDC melahirkan lagu lagu lagenda dan dakwah yang mengumpul peminat dari golongan muda
Kumpulan XPDC melahirkan lagu lagu lagenda dan dakwah yang mengumpul peminat dari golongan muda

Pertemuan semula anggota kumpulan rock XPDC di pentas Konsert XPDC Reunion & Friends mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, dalam hantarannya di media sosial.


Kata beliau, detik bersejarah itu menyaksikan anggota XPDC yang kini berpecah kepada dua kumpulan dapat kembali berpadu di satu pentas selepas hampir dua dekad sejak penubuhan awal mereka sebagai kumpulan Tragedy.


Beliau berkata, pertemuan itu membawa mesej bahawa hubungan persahabatan perlu terus dipelihara meskipun wujud perbezaan pendapat.


"Pertemuan semula ini menjadi manifestasi indah bahawa perbezaan pandangan adalah perkara lumrah yang tidak sepatutnya merobek tali silaturahim dan ukhuwah sesama insan," katanya.


Zulkifli turut merakamkan tahniah atas usaha dakwah dan kebajikan yang terus digerakkan oleh anggota XPDC, termasuk Azuar Md Tasi atau Zuar serta Mohd Ali Ismail.


Menurutnya, karya muzik kumpulan itu bukan sekadar hiburan, malah berupaya menyampaikan mesej kebaikan dan mendidik masyarakat melalui lirik yang sarat dengan nilai keagamaan serta kritikan sosial.


"Menerusi alunan lagu-lagu seperti Sedekah, Titian Perjalanan, hingga ke lagu ‘anthem’ mereka iaitu Kita Peng Yu, mereka membuktikan bahawa seni berkeupayaan menjadi medium yang mendidik jiwa serta mengajak masyarakat kembali kepada nilai-nilai kebaikan," katanya.


Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan penulis lirik dan pemuzik yang membentuk identiti muzik XPDC, termasuk Mohd Zulkifly Nik Hussin atau Izo, Allahyarham Zul Adnan Rozali atau JS Kevin serta Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.


Katanya, karya mereka yang pernah didendangkan Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael dan Ali XPDC masih meninggalkan kesan kepada pendengar sehingga kini.


Zulkifli turut mengajak orang ramai menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham Mael dan pemain bass XPDC ketika era Tragedy, Allahyarham Yahya Rashid atau Man Tobey.


Beliau berkata, perjuangan Allahyarham Mael dan Ali kini diteruskan oleh Zuhairi Harun atau Ary serta Zul Fazli atau Mamu.


Mengulas mesej yang dibawa menerusi karya XPDC, Zulkifli berkata, lagu Semangat Yang Hilang turut mengandungi iktibar tentang muhasabah diri, ketabahan dan semangat perjuangan.


Beliau berharap usaha merapatkan kembali hubungan sesama anggota XPDC itu terus diberkati.


"Semoga usaha merapatkan ukhuwah ini sentiasa dirahmati, diperkukuhkan dengan ikatan persahabatan ikhlas kerana Allah SWT, serta menyemarakkan lagi mesej persaudaraan selaras dengan semangat ‘Kita Peng-Yu’ – #KitaKawan.


"Kerana akhirnya tujuan kita hanya satu, iaitu mendapatkan keredhaan Allah SWT dari dunia hingga ke akhirat," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page