Xpats Gateway singkat proses ekspatriat mahir jadi tenaga kerja
- Suara Keadilan

- Jul 8
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI terus memperkukuh usaha menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang kompetitif melalui penambahbaikan sistematik dalam pengurusan tenaga kerja mahir.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim memaklumkan, tempoh pemprosesan bagi pengambilan pekerja ekspatriat profesional kini dipendekkan kepada hanya 10 hari, berbanding 40 hari sebelum ini berikutan pelaksanaan integrasi Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MYFutureJobs ke dalam platform Xpats Gateway bermula 1 Julai lalu.
"Dengan integrasi ini, permohonan kelulusan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 melalui ePPAx oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan surat pengesahan MYFutureJobs oleh PERKESO boleh dibuat serentak dalam satu platform iaitu Xpats Gateway.
"Langkah ini dijangka memberi penjimatan hampir RM500 juta kepada pemegang taruh terutamanya pihak majikan.
"Ia akan mempertingkat produktiviti sektor pekerjaan berkemahiran tinggi dan sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif selari aspirasi Malaysia menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2033 di bawah kerangka Ekonomi MADANI," katanya dalam kenyataan.
Xpats Gateway dibangunkan oleh TalentCorp sebagai platform satu tetingkap untuk menyelaraskan prosedur permohonan ekspatriat.
Dilancarkan pada Jun 2023, ia menghubungkan 26 agensi pelulus dan pengawal selia rentas kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan KESUMA sendiri.
Dalam tempoh seminggu sejak pelaksanaan, lebih 100 syarikat telah mengemukakan permohonan menerusi platform baharu tersebut dengan sistem ini dijangka memproses kira-kira 100,000 permohonan ekspatriat setahun.
"Tahniah kepada TalentCorp kerana membangunkan platform tersebut secara dalaman, membuktikan keupayaan bakat dalam sektor awam kita selain memastikan data sensitif dikawal selamat di Malaysia," tambah Steven Sim.
Sementara itu Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata dengan integrasi baharu itu, masa kelulusan dokumentasi kini hanya mengambil masa minimum lima hari.
"TalentCorp akan memproses permohonan dalam masa tiga hari, diikuti satu hari di Jabatan Imigresen Malaysia untuk membuat keputusan lulus atau sebaliknya, sebelum dua hari pemakluman kepada syarikat," katanya.









Comments