top of page

Xenofobik pelarian: Kepekaan semua pihak perlu redakan ketegangan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan komuniti pelarian di negara ini tidak boleh dilabel secara umum sebagai bersifat xenofobik, sebaliknya perlu difahami dalam konteks yang lebih menyeluruh dan berimbang.


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang (gambar) berkata, reaksi masyarakat tempatan berpunca daripada persepsi peningkatan jumlah pelarian tanpa kerangka pengurusan yang jelas, khususnya di kawasan seperti Kepong dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.


"Walaupun komen berbaur perkauman dan kebencian tidak boleh diterima, adalah satu kesilapan untuk melabelkan semua kebimbangan masyarakat sebagai xenofobia," katanya dalam satu kenyataan merespons kenyataan terbaru SUHAKAM berhubung peningkatan sentimen anti-pelarian.

Jeremy sewaktu berkhidmat bersama UNHCR
Jeremy sewaktu berkhidmat bersama UNHCR

Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas kakitangan UNHCR menegaskan bahawa pelarian sememangnya berhak menikmati hak asasi manusia asas, namun perlu disertai dengan tanggungjawab mematuhi undang-undang tempatan.


"Hak-hak tersebut perlu disertai dengan akauntabiliti, pematuhan kepada undang-undang tempatan, serta mekanisme pemantauan yang berkesan," ujarnya.


Menurut beliau, antara isu yang sering mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat ialah persepsi bahawa pemegang kad UNHCR kebal daripada tindakan undang-undang. Namun, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak tepat.


"Pemegang kad UNHCR tidak dilepaskan secara automatik selepas operasi penguatkuasaan imigresen dan mereka juga tidak kebal daripada penahanan di bawah undang-undang Malaysia," jelasnya.


Tambahnya, individu yang dikenal pasti sebagai Person of Concern (PoC) akan melalui proses penilaian oleh Unit Perlindungan Undang-Undang UNHCR bersama pihak berkuasa berkaitan, dan sebarang pembebasan adalah berdasarkan pertimbangan kes tertentu, khususnya melibatkan golongan rentan.


Dalam pada itu, Jeremy turut mengalu-alukan usaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia yang kini dilaporkan sedang menangani isu penglibatan pelarian dalam sektor pekerjaan tidak formal.


Sepanjang pengalamannya bersama UNHCR, beliau menyaksikan komitmen kerajaan Malaysia dalam bekerjasama dengan agensi antarabangsa itu, namun mengakui wujud cabaran dari segi struktur komuniti pelarian yang berpecah-belah serta ketiadaan saluran komunikasi tersusun.


"Keadaan ini menyukarkan usaha menangani aduan, menyelesaikan pertikaian, dan membina kepercayaan antara komuniti pelarian dan masyarakat tempatan."


Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin komuniti pelarian agar memainkan peranan lebih aktif dalam menyalurkan kebimbangan melalui saluran rasmi serta terlibat secara konstruktif dengan pihak berkuasa dan UNHCR.


"Perwakilan yang lebih kukuh dan dialog berterusan amat penting bagi menangani isu komuniti sebelum ia berkembang menjadi salah faham atau permusuhan," katanya.


Jeremy turut menegaskan bahawa penyelesaian kepada isu ini bukanlah melalui perpecahan, tetapi menerusi tadbir urus yang lebih baik, yang menyeimbangkan perlindungan hak asasi manusia dengan penguatkuasaan undang-undang.


"Mengabaikan kebimbangan masyarakat hanya akan meningkatkan rasa kecewa dan tidak puas hati. Apa yang diperlukan ialah sistem yang memastikan akauntabiliti, peraturan yang jelas dan penghormatan terhadap undang-undang Malaysia," ujar beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page