
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta kerajaan supaya mewujudkan taskforce khas bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyiasat pihak yang terlibat dengan Pandora Papers.
Beliau berkata, perkara itu harus dilakukan kerana tindakan sesetengah pihak mengelakkan diri daripada membayar cukai sebenarnya memberi kesan kepada hasil negara dan merugikan kerajaan.
"Isu tentang tax avoidance melalui tax havens seperti didedahkan Pandora Papers perlu dihentikan, jadi setuju atau tidak menteri buat satu taskforce dengan LHDN untuk menyiasat sepenuhnya Pandora Papers ini.
"Hasil kerajaan pun terkesan kerana seperti menteri tahu, tax avoidance is not crime but reduces income of the nation, jadi kita nak tahu sama ada boleh buat dengan LHDN atau tidak," soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun membalas bahawa LHDN sudah pun mendapat maklumat melalui program Automatic Exchange of Information (AEOI).
"Kita buat maklumat pertukaran mengenai percukaian dengan AEOI, ada 74 yang terlibat dengan perjanjian ini termasuk jiran kita Singapura dan British Virgin Islands (BVI).
"Maklumat kewangan diperoleh merangkumi butir-butir akaun seperti mengenai harta dan pelaburan.
"Maklumat juga boleh diperoleh melalui mekanisme pertukaran maklumat secara permintaan, sekiranya terdapat asas mendapat maklumat tambahan bagi tujuan penyiasatan.
"Sejak 2018, AEOI mencatatkan lebih 4,000 kes yang diaudit dan diselesaikan dengan jumlah RM350 juta oleh LHDN.
"Pada masa sama, kita juga ada program khas pengakuan sukarela yang diwujudkan oleh Pakatan Harapan (PH), dengan lebih 250,000 pembayar cukai sama ada di Malaysia atau luar negara juga buat bayaran balik melibatkan cukai, cukai tambahan dan penalti.
"Jadi kerajaan mengalu-alukan orang ramai sekiranya mendapat maklumat bahawa individu atau entiti terlibat dengan pengubahan wang haram, aktiviti pembiayaan keganasan, penjanaan pendapatan, pengelakan bayaran cukai, tolong laporkan kepada pihak berkuasa supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Comments