Wujudkan Sovereign Cloud, galakan sektor kreatif berpandangan jauh - Fahmi
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Komunikasi menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Menurut kementerian itu, belanjawan yang memperuntukkan RM470 bilion dan sekaligus menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah itu sebagai menyeluruh, berpandangan jauh dan berani menghadapi cabaran semasa.
"Belanjawan MADANI Keempat bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi yang berhemat bagi mengelak keterlanjuran, tetapi juga memastikan kemakmuran rakyat dan kestabilan negara terus terpelihara.
"Alhamdulillah, kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap inisiatif yang dirancang," kata menterinya Datuk Fahmi Fadzil (gambar) menerusi satu kenyataan.
Antara lain, Belanjawan 2026 menyaksikan pengumuman pembangunan Sovereign Cloud oleh pihak kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang akan memperkukuh keupayaan penyimpanan serta keselamatan data negara secara berdaulat.
Selain itu, kerajaan turut menyalurkan sokongan berterusan kepada sektor kreatif melalui inisiatif kandungan bawah FINAS, MyCreative Ventures dan beberapa agensi lain, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai pusat kandungan serantau.
Sebanyak RM2 bilion juga diperuntukkan bagi pelaksanaan projek kabel dasar laut MADANI (SALAM) bertujuan menggantikan Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SCREAM) menghubungkan Semenanjung - Sabah dan Sarawak yang telah digunakan sejak lebih sedekad lalu.









Comments