Wujudkan sistem aduan digital, sokongan psikososial di semua sekolah
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 2 min read

Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina sewajarnya membuka mata dan minda pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan, para guru dan juga pemikir sosial untuk meningkatkan sistem sokongan psikososial, mewujudkan aplikasi aduan digital dan sebagainya bagi mengelakkan hal serupa berulang.
Menurut Mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (gambar), kes kematian Zara bukanlah sekadar berita, ianya merupakan tamparan kepada masyarakat Malaysia bahawa seorang murid boleh kehilangan nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat buat mereka, iaitu sekolah.
"Sebagai bapa, pendidik dan mantan Menteri Pendidikan, saya tidak boleh diam. Kes Zara mesti menjadi titik perubahan.
"Kita tidak boleh biarkan nyawa anak-anak kita menjadi angka di dalam laporan polis atau statistik kementerian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Dr Maszlee mencadangkan kerajaan melakukan beberapa perkara agar hal sedemikian tidak berulang lagi di sekolah lain pada masa depan.
Ujarnya, sekolah perlu disediakan dengan sistem sokongan psikososial dengan menambah bilangan kaunselor sepenuh masa, warden asrama sepenuh masa dan saluran aduan yang mudah diakses.
"Wujudkan Platform aduan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mana murid boleh membuat aduan secara selamat melalui DELIMA atau aplikasi khusus, dipantau guru kelas dan guru kaunseling.
"AI boleh memberi amaran awal tentang kebarangkalian berlaku insiden buli dan cara mengelakkannya," kata beliau.
Dr Maszlee juga berkata, latihan wajib perlu diberikan kepada guru dan staf sekolah untuk mengenal pasti tanda awal buli, penderaan serta tekanan emosi berasaskan konsep “jika nampak atau dengar buli, laporkan segera”.
Selain itu, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi dicadangkan mewujudkan 'KPI Sifar Buli' di semua institusi berasrama bagi menghapuskan budaya buli sebagai penilaian prestasi tertinggi pentadbir.
"Ini bukan soal politik. Ini soal nyawa anak-anak kita. Saya menyeru Kementerian Pendidikan, pendidik, ibu bapa, NGO, media dan seluruh masyarakat untuk bersatu memastikan tragedi ini tidak berulang.
"Kita sudah terlalu lama menormalisasikan penderitaan murid di asrama. Budaya “diam demi nama baik sekolah” mesti dihentikan sekarang.
"Zara tidak akan kembali. Tetapi kita boleh pastikan tiada anak lain yang menjadi Zara berikutnya," katanya.
Dalam kenyataan sama, Dr Maszlee yang menjadi Menteri Pendidikan pada 2018 - 2019 merakamkan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, rakan-rakan sekolah, guru-guru dan seluruh komuniti di Papar dan Sabah.