'Wujudkan semula budaya wacana ilmu, cerdikkan rakyat'


Masalah ekonomi yang dihadapi kerajaan perlu dijelaskan kepada rakyat secara sebaik baiknya biar pun rakyat kini tidak memiliki kebijaksanaan sebagaimana dua dekad lalu.
Bagi Senator Amir Md Ghazali, masalah ekonomi hari ini berkait juga dengan krisis Kewangan Asia 1998 yang tidak banyak generasi KEADILAN hari ini memahaminya.
Menurut perwakilan dari Pulau Pinang itu, ekonomi Malaysia pada era Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan pertama kali amat baik, pertumbuhan 8% sejak beliau menjawat jawatan berkenaan pada 1991 sehingga 1997.
Namun kegawatan ekonomi 1997 - 1998 menyebabkan berlakunya krisis ekonomi dan politik sehingga Anwar dipecat, difitnah dan bermulanya gerakan reformasi.
"Kita melalui detik itu dengan duka apabila Anwar dipecat pada 2 Sept 1998. Itulah bermula episod pertama perjuangan reformasi.
"Krisis kewangan ini terdapat 3 kesan. Kesan ekonomi, politik dan sosial rakyat Malaysia
"Sebelum tragedi 1998 keadaan rakyat pada ketika itu mewah dengan pendapatan agak selesa dan parti politik juga selesa," katanya dalam perbahasan di Konvensyen Penerangan KEADILAN Pusat di Saujana Hotel, Subang hari ini.
Namun satu perkara yang rakyat terlupa, katanya, pada era Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri budaya ilmu disemarakkan, khususnya wacana ilmu dan rakyat ketika itu menjadi lebih cerdik daripada sebelumnya atau berbanding hari ini.
Sehubungan itu, beliau mahu budaya ilmu itu disuburkan semula terutama oleh penerangan KEADILAN.
"Kita sedar ketika itu banyak wacana ilmu. Kita ambil contoh Prof Naquib al Atas. Proses negara Madani sudah ada ketika itu.
"Kita jangan lupa Sasterawan Negara Abdullah Hussein telah meluncurkan buku Imam dan ini telah diwacanakan untuk membentuk (minda) pimpinan kampung
"Ketika itu wacana ilmiah, ilmu, disebarkan seluruh negara
"Saya mencadangkan penerangan mengambil wacana ilmiah ini dan perlu disebar luaskan kepada bawahan," katanya lagi.




Comments