
Lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di peringkat Kerajaan Persekutuan kelmarin seharusnya segera dilebarkan ke peringkat negeri.
Bagi ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, negeri Johor amat perlu mempunyai undang undang anti lompat parti yang diselaraskan dengan Persekutuan agar tidak terjadi peristiwa runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan Johor pada Februari 2020 lalu.
"Undang-undang anti-lompat telah diluluskan sebulat suara di Parlimen dengan sokongan majoriti dua pertiga. Ini akan menjadi satu kejayaan ke arah reformasi politik dan menamatkan krisis politik yang berterusan di Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh banyak parti politik termasuk orang ramai.
"Kerana ketiadaan undang-undang telah menyebabkan kerosakan dan ketidakstabilan politik selama 2 tahun berikutan Langkah Sheraton. Oleh itu mulai sekarang akan ada tindakan diambil ke atas ahli politik yang cuba menimbulkan gangguan kepada kerajaan.
"Oleh itu, kita perlu memastikan rang undang-undang yang telah dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan tidak bercanggah dengan Kerajaan Negeri. Dengan ini, saya mencadangkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz untuk memberikan perhatian khusus terhadap undang-undang anti lompat parti untuk digubal dalam undang-undang negeri kita dengan menggabungkan dengan undang-undang Persekutuan bagi mengelakkan ketidaktentuan masa depan semasa krisis politik," katanya.
Menurut Arthur lagi, sebaik baiknya undang undang berkenaan segera dibentangkan sebaik sahaja Dewan Negara selesai bersidang pada Ogos depan untuk meluluskan undang undang anti lompat tersebut.
"Saya percaya semua wakil rakyat DUN Johor tanpa mengira parti politik akan berbesar hati menyokong rang undang-undang yang akan digubal dalam perlembagaan negeri kita bagi membentuk Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil. Seharusnya tiada tempat untuk ahli politik oportunis dalam rangka kerja politik kita.
"Saya juga ingin mencadangkan agar menteri besar juga menjadualkan mesyuarat khas bersama-sama ahli DUN Johor untuk membentang dan membincangkan tentang undang-undang anti lompat parti ini," katanya.
Tegas beliau, dengan menggubal undang-undang dalam perlembagaan negeri Johor, maka kerajaan yang stabil yang akan akan terbentuk dan bakal pelabur tidak akan ragu ragu untuk menanam modal di Johor.