Wujudkan Piagam Hak Murid, elak tragedi Allahyarhamah Zara berulang
- Suara Keadilan

- Aug 15
- 2 min read

Tragedi kematian murid sekolah agama, Allahyarhamah Zara Qairina, di Papar, Sabah dan kematian pelajar tahfiz, Faris Abd Rahman di Kok Lanas, Kelantan harus menjadi 'loceng peringatan' kepada seluruh sistem pendidikan negara, tegas mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (gambar).
Beliau menegaskan bahawa keselamatan murid bukanlah isu sampingan, sebaliknya merupakan amanah tertinggi yang wajib dijaga oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mana mana agensi yang bertanggungjawab terhadap pendidikan negara.
"Jika kita gagal bertindak sekarang, kita akan membaca lagi nama-nama seperti Zara dan Faris dalam berita, dan ketika itu, penyesalan sudah tidak bermakna," kata Maszlee dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau memberi contoh langkah berani di beberapa negara yang melindungi hak murid, antaranya Korea Selatan yang memperkenalkan Student Rights Ordinance bagi melarang penderaan fizikal dan verbal serta menubuhkan badan pemantau; Finland yang mengurangkan kes buli melalui KiVa Anti-Bullying Programme; Kanada yang melaksanakan Safe Schools Act dengan perlindungan undang-undang dan kaunseling intensif; serta Jepun yang mewajibkan laporan insiden buli ke pihak berkuasa pendidikan melalui sistem pusat yang telus.
"Tiada model yang sempurna di kesemua negara tersebut, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai kerangka yang jelas dan holistik dalam menangani isu buli. Malaysia perlu membina versi sendiri dengan menggabungkan elemen terbaik dunia, disesuaikan dengan realiti tempatan serta dipantau secara berterusan," ujarnya.
Bagi memperbaiki persekitaran pembelajaran di Malaysia, Dr Maszlee mencadangkan agar diwujudkan Piagam Hak Murid Nasional dalam menjamin maruah, keselamatan dan hak pelajar di semua institusi; definisi undang-undang jelas yang memasukkan takrif buli dan buli siber ke dalam Akta Pendidikan 1996; menubuhkan jawatankuasa pemantau di sekolah dan peringkat nasional melibatkan ibu bapa, NGO, dan pihak berkuasa; program pencegahan dan intervensi berlapis berupa kaunseling, pendidikan empati dan tindakan disiplin tegas; dan pangkalan data nasional kes buli menggunakan teknologi IoT, AI dan analitik data di KPM, KDN serta KPWKM.
Menurut beliau, langkah-langkah tersebut pernah dicadangkan dalam Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 untuk dilaksana pada 2021, namun terbantut akibat perubahan kerajaan pada 2020.
Justeru, Dr Maszlee menggesa KPM supaya menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan berkenaan dalam tempoh 90 hari dan membentangkan Piagam Hak Murid di Parlimen sebelum akhir tahun ini.









Comments