Wujudkan perjawatan pekerja sosial sekolah tangani buli, kesihatan mental


Kerajaan wajar mempertimbangkan pewujudan jawatan pekerja sosial sekolah (school social worker) secara berperingkat bagi menangani isu buli, keselamatan serta kesihatan mental murid dengan lebih berkesan.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata, beberapa insiden tragis melibatkan murid kebelakangan ini menunjukkan isu berkenaan tidak boleh lagi dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin sekolah.
Katanya, guru dan pentadbir sekolah berada di barisan hadapan namun mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab menangani masalah sosial dan psikologi yang semakin kompleks.
"Guru dan pentadbir sekolah berada di barisan hadapan, tetapi mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tanggungjawab menangani masalah sosial dan psikologi yang semakin kompleks seperti buli, tekanan emosi, konflik keluarga, penderaan dan masalah kesihatan mental," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan sedia ada perlu dinilai semula sekiranya insiden sama terus berlaku, selain menegaskan tindakan tidak seharusnya hanya diambil selepas sesuatu tragedi berlaku.
Ker Chean turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) hari ini berhubung keperluan semua pihak terlibat dalam mencari penyelesaian terhadap isu di sekolah.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kepakaran dalam perlindungan kanak-kanak, kerja sosial, dinamika keluarga dan intervensi kesihatan mental.
"Antara langkah yang wajar dipertimbangkan ialah pewujudan jawatan pekerja sosial sekolah (school social worker) secara berperingkat, khususnya di sekolah yang berkeperluan tinggi," katanya.
Menurut Ker Chean, pekerja sosial boleh menjadi penghubung antara murid, keluarga, sekolah, agensi kebajikan dan perkhidmatan kesihatan mental.
Katanya, kehadiran pekerja sosial profesional di sekolah juga dapat membina sistem intervensi awal yang lebih kukuh bagi memastikan kebajikan dan keselamatan murid mendapat perhatian pakar bertauliah sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha dan pengorbanan guru serta warga sekolah perlu dihargai, namun sistem sokongan sedia ada juga perlu diperkukuh bagi menghadapi cabaran sosial dan psikologi yang semakin kompleks.
"Jika masalah yang sama terus berulang, bukan sahaja murid yang perlu diberi perhatian, malah pendekatan kita juga perlu berubah," katanya.
Loh turut menggesa kerajaan memperkukuh mekanisme kerjasama antara KPM dan KPWKM bagi membangunkan kerangka intervensi sosial serta kesihatan mental murid yang lebih menyeluruh.
"Anak-anak kita bukan sekadar perlu dilindungi selepas sesuatu insiden berlaku. Mereka memerlukan sistem sokongan yang mampu mengesan, mencegah dan menangani masalah sebelum ia bertukar menjadi tragedi.
"KPWKM perlu tampil membantu KPM demi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita," katanya lagi.




Comments