Wujudkan pelan mitigasi atasi isu banjir kilat berulang di Bintulu - Abun
- Suara Keadilan

- Dec 24, 2025
- 2 min read

Bintulu, Sarawak sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dalam tempoh singkat pada 23 Disember lalu, mengakibatkan beberapa kawasan kediaman serta infrastruktur awam dinaiki air dan menjejaskan rutin harian penduduk setempat.
Kejadian itu turut mencetuskan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa di beberapa lokasi terjejas, sekali gus menimbulkan kebimbangan berterusan dalam kalangan penduduk yang saban kali berdepan insiden sama.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, meskipun hujan lebat merupakan fenomena cuaca semula jadi yang sukar dielakkan, kejadian banjir kilat yang berulang jelas menunjukkan kelemahan ketara dalam kapasiti sistem saliran dan perparitan sedia ada di Bintulu.
"Banjir kilat yang berulang kali ini jelas menunjukkan bahawa kapasiti saliran dan sistem perparitan di Bintulu tidak lagi mencukupi, apatah lagi selaras dengan perkembangan pesat bandar serta perubahan corak cuaca global," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada penduduk, malah menjejaskan keselamatan serta harta benda mereka, selain memberi kesan langsung terhadap kestabilan perniagaan dan kehidupan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Abun menggesa pihak berwajib termasuk pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan agar segera mengambil langkah penyelesaian yang tuntas, menyeluruh dan berkesan bagi menangani masalah berkenaan.
"Antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah menaik taraf dan memperbesarkan sistem saliran serta longkang di kawasan yang sering terjejas, melaksanakan pelan mitigasi banjir yang bersepadu termasuk langkah pencegahan jangka panjang, serta memastikan pemantauan dan penyelenggaraan berkala sistem saliran sedia ada," katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang menegaskan bahawa isu banjir kilat tidak seharusnya dianggap sebagai masalah bermusim atau kebetulan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen serius dan tindakan segera bagi mengelakkan insiden sama terus berulang pada masa hadapan.
"Rakyat Bintulu berhak menikmati persekitaran yang selamat serta infrastruktur yang berfungsi dengan baik sepanjang tahun," katanya.
Tegas Abun, tindakan segera dan berkesan amat diperlukan bagi memastikan insiden banjir seperti ini tidak terus berulang pada masa hadapan.









Comments