top of page

Wujudkan kestabilan, realisasi Visi Negeri Sembilan Maju 2045

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Jul 21
  • 2 min read
Realisasikan Visi Negeri Sembilan Maju 2045 bersama Tok Min dan PH. Foto: FB Aminuddin Harun
Realisasikan Visi Negeri Sembilan Maju 2045 bersama Tok Min dan PH. Foto: FB Aminuddin Harun

Pakatan Harapan (PH) malam tadi melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 yang menggariskan 10 komitmen utama berteraskan tema "Stabil, Makmur dan Inklusif" sebagai hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang dan merealisasikan visi Negeri Sembilan Maju 2045.


Manifesto yang dilancarkan Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun itu menekankan kesinambungan dasar sedia ada yang menurut beliau telah membawa rekod pelaburan tertinggi negeri, peluang pekerjaan baharu, pengukuhan kebajikan rakyat serta kedudukan kewangan negeri yang kukuh.


"Negeri Sembilan berada di landasan yang betul. Kestabilan politik membolehkan kita mencipta rekod pelaburan tinggi dalam sejarah negeri, menarik peluang pekerjaan, memperkukuh kebajikan rakyat dan membina asas ekonomi lebih kukuh," kata dokumen manifesto itu.


PH menggariskan komitmen untuk mewujudkan sebuah kerajaan stabil dan mesra rakyat.


"Harapan bertekad mengekalkan sebuah kerajaan yang stabil, telus, berwibawa dan bebas rasuah supaya pembangunan dapat diteruskan tanpa ganguan demi kepentingan rakyat," menurut manifesto itu.


Bagi merancakkan ekonomi, PH berikrar melaksanakan Pelan Ekonomi Negeri Sembilan 2045 dengan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi dalam tempoh lima tahun.


Manifesto itu turut memberi fokus kepada pembangunan sektor semikonduktor, aeroangkasa, pusat data, ekonomi digital, teknologi hijau, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperluas liputan internet berkelajuan tinggi serta merealisasikan projek Landasan Bypass Senawang–Port Klang bagi meningkatkan daya saing.


Dalam usaha menangani kos sara hidup, PH berjanji memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR) melalui penambahbaikan bantuan pendidikan, bantuan kepada OKU, ibu tunggal dan golongan rentan selain memperluaskan Program Makanan Asas Mampu Milik, Klinik Bergerak dan meningkatkan kemudahan kesihatan termasuk Hospital Bandar Enstek serta Hospital Tuanku Jaafar Seremban.


Aspek pendidikan turut diberi perhatian menerusi komitmen meneruskan bantuan kepada pelbagai institusi pendidikan, menambah baik Biasiswa Anak Negeri dan Bantuan Anak Sekolah, memperluaskan pendidikan TVET termasuk pendidikan percuma di Kolej Yayasan Negeri Sembilan, melaksanakan program literasi digital dan kecerdasan buatan (AI), tuisyen percuma kepada pelajar B40 dan M40 serta mewujudkan Pusat Bakat dan Kemahiran Ekonomi Digital.


Bagi memperkasa golongan belia, wanita dan institusi keluarga, manifesto itu menawarkan pelaksanaan Program Kepimpinan Belia (Upaya@N9), peluasan program pemerkasaan wanita WADANI, penyediaan peruntukan khas untuk institusi keluarga, pembangunan sukan negeri, galakan kepada ekonomi kreatif dan keusahawanan serta memperluaskan penyertaan belia dalam proses membuat keputusan.


Dalam sektor perumahan, PH berjanji membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun, mempercepat penyelesaian isu tanah, geran dan hak milik, meneruskan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan kepada pegangan selama-lamanya mengikut dasar sedia ada serta meningkatkan kemudahan asas di kawasan perumahan.


Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar dan FELDA menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti, memperkukuh bekalan air, elektrik dan Internet, memperluaskan Program Usahawan Desa, membangunkan Bahau, Kuala Pilah, Tampin dan Klawang sebagai pusat pertumbuhan baharu serta membolehkan generasi kedua dan ketiga FELDA membina rumah kedua di lot milik ibu bapa mereka.


Dalam sektor pertanian, PH komited melaksanakan Pelan Pertanian Pintar Negeri Sembilan, memperluaskan Program Petani Muda, menggalakkan agromakanan bernilai tinggi, penggunaan automasi dan teknologi moden serta membina hab pengumpulan hasil pertanian bagi memperkukuh keterjaminan makanan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page