top of page

Wujudkan kerangka keselamatan sekolah nasional 2027-2030 - MAPIM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
53 minutes ago
3 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan National Safe School Framework 2027-2030 bagi memperkukuh keselamatan, perlindungan, pendidikan nilai dan kesejahteraan psikososial murid di seluruh negara.


Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata kerangka berkenaan perlu mempunyai indikator yang boleh diukur bagi setiap sekolah, selain mengambil kira profil risiko berdasarkan lokasi, jumlah murid, asrama, aktiviti selepas waktu persekolahan dan sejarah insiden.


"Keberkesanan dasar keselamatan sekolah tidak seharusnya diukur berdasarkan kewujudan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata sebaliknya sama ada garis panduan itu benar-benar diketahui, dilaksanakan, dipantau dan berfungsi ketika kecemasan.


"MAPIM mengambil maklum bahawa Kementerian Pendidikan telah mempunyai Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan pada Julai 2026 turut memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid.


"Namun perkembangan kes semasa menunjukkan bahawa keberkesanan sesuatu dasar tidak hanya bergantung kepada kewujudan garis panduan tetapi kepada sejauh mana ia dilaksanakan, dipantau, diuji dan diperbaiki secara berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Gesaan itu dibuat susulan beberapa kejadian serius membabitkan pelajar sepanjang tahun ini termasuk kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng pada 3 Oktober lalu.


MAPIM berkata perkembangan berkenaan perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh sistem keselamatan sekolah, bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebelum siasatan lengkap diperoleh.


Antara tuntutan utama MAPIM ialah supaya KPM melaksanakan audit keselamatan sekolah sekurang-kurangnya sekali setahun selain audit khas bagi sekolah yang mempunyai tahap risiko lebih tinggi.


Audit itu dicadangkan meliputi kawalan keluar masuk, kawasan terpencil, CCTV, pencahayaan, keselamatan asrama, kelas tambahan, aktiviti selepas waktu sekolah, kawalan pelawat, rondaan, prosedur kecemasan dan hubungan dengan polis serta perkhidmatan kecemasan.


MAPIM turut menekankan keperluan sistem amaran awal bagi mengenal pasti murid berisiko melalui kerjasama guru kelas, guru disiplin, kaunselor, warden, pentadbir sekolah dan ibu bapa.


Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tingkah laku ketara, ancaman berulang, pergaduhan, buli, ugutan, membawa bahan berbahaya, pengasingan sosial, ponteng berulang dan konflik serius


"Prinsipnya ialah kesan awal, intervensi awal dan lindungi cepat," katanya Mohd Azmi.


Selain itu, MAPIM mencadangkan setiap murid mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya tiga saluran aduan iaitu guru atau kaunselor, saluran aduan sekolah yang dilindungi serta saluran luar sekolah bagi kes serius atau apabila murid tidak yakin untuk membuat laporan di sekolah.


Badan itu turut menggesa pendidikan nilai dan akhlak diperkukuh melalui latihan praktikal berkaitan pengurusan kemarahan, empati, penyelesaian konflik, komunikasi tanpa keganasan, tanggungjawab terhadap rakan serta keberanian melaporkan keganasan.


Dalam masa sama, Mohd Azmi menyarankan agar peranan kaunselor sekolah perlu diperkasa supaya tidak hanya bertindak selepas sesuatu masalah berlaku sebaliknya menjadi sebahagian daripada sistem pencegahan menerusi saringan kesejahteraan murid, intervensi awal, rujukan profesional dan pemantauan selepas kes ditutup,.


MAPIM turut mencadangkan kerjasama lebih tersusun antara KPM, PDRM, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, PIBG, NGO dan komuniti bagi membentuk rangkaian pencegahan keselamatan sekolah.


Berhubung kelas tambahan dan aktiviti selepas waktu persekolahan, MAPIM berkata setiap sekolah perlu mempunyai rekod jelas mengenai siapa yang berada di sekolah, pada waktu bila, di bawah pengawasan siapa dan bagaimana murid meninggalkan kawasan sekolah.


Badan gabungan itu juga menyokong penggunaan CCTV, namun menegaskan teknologi berkenaan tidak boleh menjadi pengganti kepada pengawasan manusia, guru, warden dan pendidikan nilai.


MAPIM turut mencadangkan KPM menerbitkan Laporan Tahunan Keselamatan dan Perlindungan Murid Malaysia yang mengandungi data agregat berkaitan buli, keganasan, salah laku jenayah, kecederaan serius, kematian, aduan, intervensi, audit keselamatan, latihan guru, kaunseling dan keselamatan asrama.


Mohd Azmi berkata pelaksanaan kerangka berkenaan boleh dilakukan secara berperingkat bermula dengan audit nasional dan pemetaan risiko pada 2027 diikuti pelaksanaan kerangka keselamatan sekolah pada 2028, penilaian bebas pada 2029 dan semakan dasar berdasarkan data pada 2030.


"MAPIM tidak melihat isu ini sebagai isu Kementerian Pendidikan semata-mata. Ia adalah isu nasional yang melibatkan masa depan generasi Malaysia.


"Sekolah mesti menjadi tempat anak-anak kita belajar tanpa takut, berkembang tanpa ancaman dan pulang kepada keluarga dalam keadaan selamat," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page