Wujudkan jawatan profesional warden asrama, tidak sesuai askar, polis pencen
- Suara Keadilan
- 1 minute ago
- 2 min read

Cadangan melantik askar atau polis pencen sebagai warden di sekolah berasrama tidak praktikal kerana peranan warden bukan sekadar mengawal disiplin, sebaliknya sebagai pendidik, pembimbing sahsiah dan penjaga kebajikan pelajar.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang dan Sekolah Kebangsaan Baroh Pial, Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali, disiplin tugas dalam kedua dua bidang kerjaya itu juga agak berlainan berbanding disiplin pendidikan di sekolah.
"Asrama bukan kem tentera. Asrama bukan balai polis. Asrama adalah rumah kedua anak-anak kita, tempat mereka tidur, belajar, membesar dengan jiwa dan akhlak," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau yang lebih dikenal sebagai Syam Ghaz berkata, pendidikan bukanlah soal 'arah dan patuh' semata-mata, tetapi memerlukan pendekatan kasih sayang, ilmu pedagogi, kaunseling serta sentuhan guru yang memahami.
"Warden asrama seharusnya menjadi pendidik, bukan pengawal. Guru sudah dilatih memahami psikologi pelajar, tahu beza antara nakal dan trauma, sedangkan askar atau polis pencen tidak ada modul khusus pendidikan kanak-kanak," katanya.
Beliau juga mengingatkan risiko jenayah jika warden tidak dilatih secara profesional, merujuk kepada kes seorang ustaz warden asrama di Kelantan yang merogol pelajar.
"Bayangkan jika warden dilantik tanpa latihan pendidikan, risiko buli, salah guna kuasa dan jenayah boleh berulang," ujarnya.
Bagaimanapun, Syam Ghaz tidak bersetuju sekiranya kerajaan mahu meneruskan polisi sedia ada dengan membebankan guru asrama sebagai salah seorang warden bertugas.
Katanya, isu beban kerja guru perlu diberi perhatian. Kajian Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2019 menunjukkan guru Malaysia bekerja purata 77 jam seminggu, jauh melebihi standard antarabangsa.
Apabila guru dipaksa menjadi warden dengan elaun tambahan sekitar RM300, ia menjejaskan fokus mengajar atau kehilangan semangat melaksanakan tugas harian.
Sehubungan itu, Syam Ghaz mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan skim perkhidmatan warden asrama.
Katanya, skim jawatan khas Pegawai Warden Asrama perlu diletak di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam. Warden akan dibekalkan kursus sesuai dan mempunyai pengetahuan mengenai kaunseling, psikologi pendidikan dan pentadbiran asrama.
Sekiranya guru masih diperlukan sebagai warden tambahan, katanya, perlu dikaji semula jumlah elaun mereka. Dicadangkan setara separuh gaji pokok semasa antara RM1,200 – RM2,000.
Juga perlu dikurangkan beban waktu mengajar guru warden. Waktu mengajar mereka hendaklah separuh beban minimum atau contohnya mengajar 12 waktu seminggu, berbanding 24 waktu untuk guru biasa.
Syam Ghaz menegaskan sekiranya warden dilantik secara 'tangkap muat' seperti polisi ketika ini maka suasana di sekolah tidak akan bergerak ke arah kecemerlangan.
"Asrama bukan sekadar tempat tidur murid, tetapi institusi pembentukan akhlak dan sahsiah.
"Jika warden hanya dilantik atas dasar ‘mengisi kekosongan’, maka kita sedang menggadaikan masa depan anak bangsa," tegas beliau.
Katanya, agenda Pendidikan Madani seharusnya termasuk sasaran mengurangkan kes buli sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga tahun dan meningkatkan kepuasan pelajar asrama kepada lebih 80 peratus berbanding hari ini.