Pada Hari Kebebasan Media Sedunia semalam, seorang wartawan berita portal luar negara telah dipanggil pihak polis ke Bukit Aman pada Rabu ini bagi memberikan keterangan mengenai laporannya yang disifatkan mengganggu ketenteraman awam.
Laporan tersebut adalah mengenai serbuan pihak berkuasa terhadap lebih 5,000 pekerja asing tanpa izin di tiga buah bangunan di ibu negara yang berada dalam zon merah.
Laporan itu mengkritik serbuan tersebut, yang disifatkan bertentangan dengan pendirian kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini yang berjanji tidak akan menumpukan isu dokumen perjalanan yang sah, sebaliknya “hanya mahu mengetahui sama ada mereka bersih daripada COVID-19 atau tidak”.
PDRM menyiasat laporan tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tidak mengenakan tindakan terhadap wartawan itu.
Namun tindakan PDRM melakukan siasatan terhadap wartawan jelas menunjukkan Perikatan Nasional menolak kebebasan media di negara ini.
Malah, sejak Perikatan Nasional berkuasa dua bulan yang lalu, ada laporan wartawan yang dilabel "berita palsu", sidang media kerajaan dihadkan kepada beberapa wartawan terpilih dan ada juga wartawan yang dikritik oleh pemimpin kerajaan.
NGO Centre for Independent Journalism (CIJ Malaysia) turut mengkritik penggunaan Seksyen 233 dalam Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menghalang kebebasan media.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen juga tampil menyelar tindakan kerajaan yang menyiasat Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh atas tuduhan berita palsu dibawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang disifatkannya sebagai "bukanlah permulaan yang baik" buat kerajaan yang baharu mentadbir negara.
"Macam mana kita nak percaya yang kerajaan ini komited dengan kebebasan media kalau cara pengambilalihan pentadbiran negara dipersoal dan enggan melakukan sidang Parlimen?" katanya menerusi akaun Twitternya.
Tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-101 dalam Indeks Kebebasan Media Sedunia oleh Reporters Without Borders, naik 22 anak tangga berbanding kedudukan ke-123 tahun lepas, hasil komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam meraikan kebebasan media.
Namun, jika inilah caranya Perikatan Nasional meraikan kebebasan media, kedudukan Malaysia mungkin akan jatuh pada tahun depan.
Comments