Wujud pangkalan data TVET mudahkan pelabur kenal pasti bakat
- Suara Keadilan

- Jul 11
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa tenaga mahir terutama golongan belia luar bandar di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bakal bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data lepasan TVET.
"Pangkalan data ini akan menggabungkan semua graduan dengan pelabur yang masuk bagi memudahkan (pelabur) melihat kemahiran pekerja dan sumber manusia ditawar di Selangor.
"Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) dan cadangan mengenainya akan dikemukakan dalam belanjawan akan datang untuk rancangan tahun hadapan," katanya dipetik di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.
Sementara itu menurut Amirudin, Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama graduan.
"Masih ada anggapan bahawa hanya universiti mampu menawarkan peluang pekerjaan. Justeru, bidang TVET tidak diisi sepenuhnya kerana dianggap pilihan kedua.
"Ini adalah cabaran kita, Pemikiran ini perlu diubah dan sebab itu tahun hadapan kita akan bergabung dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk berkongsi tawaran pekerjaan bidang TVET di peringkat sekolah menengah," tambahnya.









Comments