top of page

Wuduk, undi BN-PN: 'Hukum agama tidak berubah ikut siapa Pas berkawan'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 days ago
2 min read
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Wuduk merupakan syarat sah solat yang mempunyai sandaran hukum yang jelas dalam Islam. Persoalannya, atas asas apakah kewajipan tersebut boleh dianalogikan dengan arahan mengundi sesebuah gabungan politik?

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mempersoalkan tindakan Presiden Pas, Hj Hadi Awang menggunakan analogi kewajipan berwuduk sebelum solat bagi menjelaskan keperluan ahli parti itu mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Beliau menyifatkan pendekatan sedemikian sebagai tidak wajar kerana agama sepatutnya menjadi panduan dalam berpolitik, bukannya ditafsir mengikut kepentingan atau percaturan politik semasa.


"Saya kesal dengan kenyataan Presiden Pas yang menggunakan analogi kewajipan berwuduk sebelum solat bagi menjelaskan keperluan ahli Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.


"Wuduk merupakan syarat sah solat yang mempunyai sandaran hukum yang jelas dalam Islam. Persoalannya, atas asas apakah kewajipan tersebut boleh dianalogikan dengan arahan mengundi sesebuah gabungan politik?" katanya dalam kenyataan di media sosial.


Menurut Zaliha, analogi itu menimbulkan persoalan lebih besar apabila kerjasama politik Pas sendiri berubah mengikut percaturan semasa.


Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor berkata, Pas pernah bekerjasama dengan DAP menerusi Pakatan Rakyat, kemudian bersama Umno melalui Muafakat Nasional, seterusnya Bersatu dalam Perikatan Nasional dan kini kembali meminta ahlinya mengundi calon BN.


"Apabila Pas berkawan, undi dikatakan wajib. Apabila Pas bermusuh, parti yang sama pula diserang.


"Sejak bila hukum agama perlu mengikut jadual kerjasama politik Pas?" soalnya.


Bagaimanapun, Zaliha berkata beliau tidak mempertikaikan tanggungjawab umat Islam memilih pemimpin yang amanah dan adil kerana prinsip berkenaan sepatutnya menjadi asas dalam menentukan kepimpinan.


Jangan samakan strategi kempen dengan tuntutan agama


Namun, katanya, tanggungjawab memilih pemimpin tidak memberikan hak kepada mana-mana parti politik untuk menuntut ketaatan politik atas nama agama.


"Tan Sri Abdul Hadi bebas berkempen untuk BN dan PN. Kempenlah dengan dasar, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada rakyat.


"Jangan sampai strategi memenangkan pilihanraya diberikan gambaran seolah-olah suatu tuntutan agama yang tidak boleh dipersoalkan," katanya.


Beliau turut menegaskan rakyat Melaka berhak menentukan pilihan politik masing-masing berdasarkan pertimbangan sendiri tanpa dibebani rasa bersalah atas nama agama hanya kerana tidak memilih gabungan tertentu.


Tegasnya, Pas tidak boleh disamakan dengan agama kerana keputusan menolak calon pilihan parti itu tidak bermakna seseorang menolak tuntutan Islam.


"Pas bukan agama. Menolak calon pilihan Pas bukan bermakna seseorang itu menolak tuntutan Islam.


"Agama tidak berubah mengikut percaturan politik. Yang berubah ialah pendirian Pas terhadap siapa yang mahu dijadikan kawan dan siapa yang mahu dijadikan lawan. Jangan sampai hukum agama turut diseret mengikut perubahan itu," katanya.


Dalam ceramah Hj Hadi di Melaka beliau menegaskan ahli parti itu wajib mengundi calon BN-PN di kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan sebagai memenuhi tuntutan kerjasama politik.


Beliau turut mengibaratkan kewajipan itu seperti mengambil wuduk sebelum menunaikan solat yang diwajibkan dalam Islam, meskipun wuduk pada asalnya bukan suatu kewajipan.


"Kaedah Islam mengatakan apa yang tak semuanya yang wajib, melainkan dengannya jadi wajib. Contohnya kita ambil air sembahyang. Asalnya tak wajib. Tapi kalau sembahyang itu wajib, syarat sah sembahyang kena ada wuduk.


"Maka wuduk kerana nak sembahyang wajib. Begitulah perpaduan itu wajib bagi orang Islam," katanya dipetik laporan Malaysiagazette.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page