'Wow factor' Nurul Izzah Sentiasa Dinanti
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 4 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Sejak Nurul Izzah Anwar dinobatkan menduduki kerusi Timbalan Presiden Parti KEADILAN pada 23 Mei lalu, sosok, gerak kerja serta aktiviti Puteri Reformasi itu menjadi fokus utama khasnya dalam kalangan anggota parti di seluruh negara.
Figura Nurul Izzah dalam usaha menjulang KEADILAN ke posisi yang lebih perkasa sentiasa menjadi sorotan sama ada di laman media sosial mahu pun di mana juga majlis yang dihadiri oleh beliau.
Pemimpin yang bijak dan rajin adalah mereka yang mampu menggabungkan kebijaksanaan peribadi, tindakan yang efektif dan keharmonian dengan alam serta masyarakat.
Pemimpin yang bijak juga tidak bersandarkan populariti tetapi terus memperteguh kewibawaan bagi memastikan kepimpinan mereka terus diyakini serta relevan mengikut zaman.
Diam diam ubi Nurul Izzah
Sebagai tokoh yang pernah dinobatkan sebagai Wanita Paling Berpengaruh oleh sebuah organisasi pemikir kepenggunaan, Influential Brands pada Sidang Kemuncak CEO Asia 2018 di Singapura, pasti ramai yang menanti-nantikan perkongsian Nurul Izzah dalam laman sosialnya.
Mereka ternanti-nanti apakah 'wow factor' Nurul Izzah yang terkini.
Nurul Izzah tidak perlu memukul canang. Ada waktunya beliau memang 'diam' . Namun 'diam-diam ubi'. Meskipun banyak diam tetapi tetap berisi. Itulah ungkapan yang tepat penulis gambarkan cara bekerja Nurul sejak menceburi politik sehingga hari ini.
Kelihatan beliau mengambil pendekatan suka bekerja dalam diam bersama pasukannya. Namun yang pasti hasil kerja beliau dalam diam itu bukan kepalang, malah memberi manfaat kepada negara.
Bawa pulang pencipta cip USB flash
Minggu lalu dalam laman sosialnya, Nurul berkongsi kisah beliau membawa pulang seorang anak jati Malaysia yang merupakan pencipta cip USB flash pertama dunia, Datuk Pua Khien Seng.

Status laman sosial Nurul Izzah mengenai Datuk Pua Khein Seng dikongsi oleh lebih dua ribu netizen dan dilayari lebih 15 ribu pengguna media sosial.
"Kira-kira 20 tahun lalu, Khien Seng atau Pua mencipta sejarah dunia dengan mencipta cip USB flash pertama di dunia yang telah mengubah landskap penyimpanan data global.
"Kini, syarikatnya Phison yang beroperasi di Taiwqn menguasai lebih 45 peratus pasaran USB flash di dunia.
"Walaupun Khien Seng seorang usahawan yang sudah berjaya membina nama di persada dunia, hatinya tetap terpaut pada Malaysia," cerita Nurul Izzah.
Kejayaan membawa pulang Khien Seng bersama kepakarannya ke Malaysia adalah atas usaha Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) yang dipengerusikan oleh Nurul.
Berkongsi peranannya membawa pulang syarikat gergasi teknologi dunia ke Malaysia, Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, ianya bermula dengan peluang makan tengah hari bersama Khien Seng, usahawan dari Sekinchan itu dua tahun lalu.
"Pua beritahu saya, dia boleh sahaja memilih untuk melabur ke mana-mana negara lain. Tetapi, dia tetap nak kembali menabur bakti buat tanah air tercinta.
"Dia mahu melihat Malaysia muncul sebagai harimau digital di rantau ASEAN," kata Nurul Izzah.
Nurul Izzah berkata, Khien Seng berhasrat membawa pelaburan berjumlah RM100 juta serta pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion bagi membolehkan Malaysia menerajui bidang reka cipta mikrocip.
"Saya menyokong usaha beliau dengan menghubungkan kepada ekosistem dasar dan agensi dan kementerian yang relevan.
"Saya juga mempertemukan beliau dengan individu dan pihak yang tepat, termasuk SIDEC, kerana hasrat kami adalah untuk menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.
Tambah Nurul Izzah, bagi mengelak lebih banyak bakat-bakat Malaysia berhijrah ke luar negara, Khien Seng menawarkan gaji permulaan RM3,000 untuk graduan baharu, manakala gaji bagi jurutera berpengalaman pula mencecah lima angka.
Sasaran Khien Seng ialah mahu membawa syarikatnya ke penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) menjelang tahun 2028.
Sebelum ini pada 1999, Khien Seng pernah cuba membawa visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia.
Namun, impiannya terhalang oleh birokrasi, dasar yang terbatas, dan ekosistem yang belum matang dan tidak bersedia - itu yang menyebabkannya memilih Taiwan, yang mana ideanya diberi peluang untuk berkembang di negara tersebut.
Bertemu Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh
Dalam minggu sama, perkongsian kedua Nurul Izzah ialah kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus di Dhaka. Satu lagi siri kunjungannya yang telah mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia.

Dalam pertemuan itu, Yunus menyatakan hasrat Bangladesh untuk menyertai ASEAN dan memohon sokongan Malaysia bagi tujuan tersebut.
"Kami mahu menjadi sebahagian daripada ASEAN dan kami perlukan sokongan Malaysia," kata beliau kepada Nurul menurut laporan Bangladesh, Sangbad Sangstha.
Yunus turut mengalu-alukan pelaburan syarikat Malaysia dalam ekonomi Bangladesh yang sedang berkembang pesat.
"Asia sedang mengalami penuaan pesat, tetapi Bangladesh mempunyai ramai golongan muda.
"Separuh daripada penduduk kami berusia bawah 27 tahun. Binalah industri anda di sini dan eksport dari Bangladesh. Ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi," katanya.
Beliau turut memaklumkan kepada Nurul Izzah mengenai reformasi politik yang sedang dijalankan di Bangladesh susulan kebangkitan rakyat tahun lepas yang membawa kepada pengakhiran pemerintahan hampir 16 tahun rejim Sheikh Hasina.
Sebelum itu, Nurul Izzah telah berucap di Universiti Dhaka sempena persidangan memperingati ulang tahun pertama Revolusi Julai.
Santuni anggota KEADILAN
Dalam kesibukan Nurul Izzah membantu warga dunia dengan pelbagai cara, beliau juga tidak mengabaikan tanggungjawab menyantuni anggota-anggota KEADILAN seluruh negara.
Semalam, Nurul Izzah bersama Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap dalam program Amanat Khas Presiden - Gerak Gempur Menang PRN Sabah. Program tersebut diadakan di Kota Kinabalu yang turut dihadiri oleh Naib Presiden KEADILAN Datok Seri Amiruddin Shari.
Sebagai Timbalan Presiden, ucapan serta perkongsian Nurul Izzah membangkitkan lagi semangat anggota parti untuk terus cekal mengharungi PRN Sabah yang semakin hampir.









Comments