Wong Chen kosongkan kerusi jika sudah tidak sehaluan - Pravin Murali
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 2 min read

Ketua Cabang KEADILAN Subang, Pravin Murali (gambar) menggesa Wong Chen mengosongkan kerusi Parlimen Subang dan mengembalikan mandat kepada rakyat jika benar beliau mahu membawa haluan politik baharu bersama parti Bersama.
Pravin berkata, kenyataan Wong Chen yang mencabar KEADILAN agar memecatnya jelas menunjukkan bahawa isu tersebut bukan lagi berkaitan prinsip perjuangan untuk terus kekal sebagai Ahli Parlimen Subang.
"Kalau benar beliau yakin rakyat Subang bersama laluan politik baharunya, maka jalan paling bermaruah ialah meletakkan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
"Biar rakyat Subang menentukan semula siapa yang mereka mahu sebagai wakil mereka. Subang bukan milik mana-mana individu dan Subang juga bukan tempat untuk percaturan politik peribadi.
"Mandat rakyat mesti dihormati bukan dipermainkan melalui ruang teknikal demi kepentingan politik sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pravin menegaskan mandat yang diberikan rakyat kepada Wong Chen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 bukanlah mandat peribadi, sebaliknya mandat kepada calon KEADILAN yang bertanding di bawah panji Pakatan Harapan (PH) berasaskan kepercayaan rakyat terhadap agenda reformasi dan perjuangan parti itu.
Justeru, Pravin yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menegaskan agar Wong Chen tidak mengelirukan rakyat Subang mengenai mandat yang diterimanya pada PRU lepas.
"Apabila beliau sendiri memilih untuk membawa haluan politik yang berbeza, jangan pula cuba meletakkan beban itu kepada parti.
"Jangan cabar parti untuk memecat semata-mata kerana mahu menyelamatkan kedudukan sendiri.
"Jangan pula jadikan keberanian itu hanya sekadar cabaran di atas pentas. Keberanian sebenar ialah sanggup memulangkan mandat apabila sudah tidak lagi bersama perjuangan yang membawa beliau ke Parlimen," katanya lagi.
Terdahulu, Wong Chen mencabar KEADILAN agar memecatnya daripada parti itu jika kepimpinan benar-benar berhasrat mengambil tindakan terhadap beliau.
Wong Chen menegaskan bahawa tidak perlu menunggu beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen, sebaliknya parti boleh terus memecatnya jika mempunyai alasan berbuat demikian.
"Tak perlu tunggu saya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, pecat saya sahaja," katanya dalam satu hantaran Faceboook pada 15 Jun lalu.




Comments