WHO terima pakai Resolusi Kesihatan Paru-Paru Malaysia
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Usaha Kerajaan MADANI terus diperakui apabila Resolusi Kesihatan Paru-Paru dipacu Malaysia diterima pakai secara rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penerimaan resolusi itu yang dibawa sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva, Switzerland merupakan pencapaian bersejarah dan kejayaan besar buat Malaysia dalam kepimpinan kesihatan global.
"Alhamdulillah, misi rasmi ke Geneva sempena WHA78 telah selesai dengan penuh jayanya. Saya telah kembali ke tanah air dengan semangat lebih menyala dan tekad yang lebih jitu," katanya menerusi hantaran Facebook.
Resolusi Kesihatan Paru-Paru bertujuan untuk memperkukuh aktiviti berkaitan pencegahan, saringan, rawatan dan kawalan penyakit berkaitan paru-paru.
Antara usaha di bawah inisiaitif itu ialah kempen kesedaran awam yang meluas mengenai bahaya merokok dan asap rokok terpakai serta program saringan yang dipertingkatkan dengan teknologi kecerdasan buatan (Al).
Dzulkefly mengetuai delegasi Malaysia ke WHA78 di Geneva dari 18 hingga 22 Mei .
Sepanjang di Geneva, beliau mewakili Malaysia menjadi tuan rumah ketika sesi sampingan WHA78 bagi memajukan kesihatan mulut dalam Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).
Sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama kesihatan antara negara, Dr Dzulkefly telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama rakan sejawatan atau wakil kesihatan dari Bangladesh, Mesir, Iran, Palestin, Brunei dan Norway
Selain itu, pelbagai pertemuan strategik juga telah diadakan bersama organisasi kesihatan antarabangsa seperti WHO, Gavi (the Vaccine Alliance), Rare Disease International (RDI), Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) dan Medicines Patent Pool (MPP).
"Setiap langkah dan pertukaran di Geneva membawa satu mesej jelas - Malaysia bukan hanya mengikut arus kesihatan global, malah turut menerajui, memacu dan membentuk hala tuju bersama," katanya.