WFH: Sektor swasta wajar contohi kerajaan, berjaya di era Covid 19
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Sektor swasta digesa mencontohi langkah kerajaan yang memperkenalkan dasar kerja dari rumah (WFH) sebagai sebahagian strategi mitigasi berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat krisis geopolitik di Asia Barat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik bergantung kepada kesediaan negara untuk berinovasi dalam budaya kerja serta mengekalkan disiplin fiskal yang tinggi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mendakwa dasar WFH tidak sesuai dalam konteks tenaga kerja negara.
Menurutnya, pandangan tersebut bersifat regresif dan tidak mencerminkan realiti perubahan dunia pekerjaan moden.
"Pengalaman kita ketika mendepani fasa pemulihan Covid-19 telah membuktikan bahawa fleksibiliti di tempat kerja bukanlah satu penghalang, sebaliknya pemangkin kepada produktiviti.
"Melalui model kerja fleksibel, kita mampu mencapai keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik sambil mengurangkan kos operasi (OPEX) syarikat dan beban perbelanjaan harian rakyat, terutamanya kos petrol dan pengangkutan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu, WFH perlu dilihat sebagai instrumen strategik untuk mengurangkan tekanan terhadap subsidi bahan api negara.
Menurut AMK, amalan kerja fleksibel juga semakin meluas di peringkat antarabangsa apabila beberapa negara mengambil langkah sama bagi menjimatkan penggunaan tenaga.
"Di Eropah, menteri-menteri dan pegawai kerajaan sekali lagi menggesa rakyat untuk "mengelak kesesakan" (skip the commute) dan bekerja secara jarak jauh bagi menjimatkan penggunaan gas, malah menyamai dasar yang pernah diambil ketika krisis tenaga Rusia-Ukraine pada 2022," katanya.
Di Asia Tenggara pula, ujar Kamil, beberapa negara termasuk di Vietnam, Filipina dan Thailand mengeluarkan panduan rasmi yang meletakkan WFH sebagai langkah segera bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
Menurut kenyataan itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. juga dilaporkan mengarahkan agensi kerajaan melaksanakan WFH serta minggu kerja lebih pendek bagi mengurangkan penggunaan tenaga sektor awam sehingga 20 peratus.
Dalam pada itu, AMK menyifatkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebagai langkah proaktif kerajaan untuk bersedia menghadapi risiko krisis Asia Barat.
"Tindakan Kerajaan membatalkan kesemua majlis Rumah Terbuka Aidilfitri agensi Kerajaan dan mengurangkan lawatan kerja menteri ke luar negara adalah manifestasi jelas kepada konsep "Pain Sharing" (berkongsi beban).
"Kepimpinan negara telah memilih untuk memotong perbelanjaan keraian demi memastikan keselamatan ekonomi rakyat dan kestabilan harga barang di pasaran domestik terjamin," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar majikan supaya melaksanakan dasar WFH secara bersasar bagi tugasan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal secara konsisten dan mengutamakan kebajikan pekerja dengan memberikan fleksibiliti untuk membantu mereka mengurus kos sara hidup di kawasan bandar.
"Kelangsungan ekonomi negara adalah tanggungjawab kolektif semua pihak. AMK akan terus menyokong langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global," katanya lagi.




Comments