top of page

'Waspada jangan jadi 'bola' tentera siber Umno-JKOM'


ULASAN: Drama proses pelantikan Perdana Menteri (PM) baharu yang bermula sejak Selasa, 17 Ogos lalu menyaksikan pelbagai kenyataan yang dilontarkan oleh para penyokong Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) Plus.


Bagaimanapun, terdapat hal-hal yang belum pernah terjadi dalam kalangan aktivis media sosial PH, berlaku pada kali ini.


PH pernah kuasai media sosial


Sekiranya diimbau sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu, penyokong PH menguasai media sosial dengan jayanya. Kempen isu 1Malaysia Development Berhad, barang kemas Rosmah Mansur, pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pelbagai isu lain sangat berkesan dan tidak terjawab oleh jentera media kerjaaan BN juga oleh tentera siber (cytro) Umno.


Dalam masa sama, percubaan cytro Umno untuk melaga-lagakan Bersatu dan komponen PH ketika itu tidak berhasil.


Namun sebaliknya terjadi dalam drama swasta proses pelantikan PM 9 selama 4 hari ini.


Termakan propaganda musuh


Pelbagai kumpulan WhatsApp pro PH di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor misalnya telah termakan propaganda lawan.


Bermula isu rundingan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara DAP dan pihak pemimpin Perikatan Nasional. Biar pun media parti, khususnya Suara Keadilan telah memaparkan berita dan komen daripada Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil bahawa rundingan CSA tersebut dimaklumkan kepada PH dan hanya pada peringkat untuk mengetahui apa yang diinginkan kerajaan PN namun para penyokong PH menyambutnya dengan kecurigaan terhadap sikap DAP yang cenderung kepada pentadbiran PM Mahiaddin Yassin.


Tanpa mereka sedar konsep CSA tersebut telah pun diamalkan di Perak dan Johor bersama Menteri Besar Umno, yang memberi sedikit keuntungan kepada ADUN pembangkang dari segi peruntukan kawasan.


Ternyata cytro lawan yang menggunakan tenknologi WhatsApp blast berjaya mempengaruhi pemikiran para penyokong PH berbekalkan sedikit ayat-ayat hasutan.


Pada hari Khamis, di tengah-tengah kemelut Gabungan Parti Sarawak (GPS) cuba bersikap berkecuali dalam menyokong calon PM sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Ismail Sabri, berlaku lagi propaganda yang pelik tetapi disambut oleh aktivis media sosial PH.


Tular perbualan WhatsApp kononnya rakan karib kepada seorang anak pemimpin utama GPS yang berkata pemimpin Sarawak yang sebelum ini dalam kerajaan PN, kali ini menyokong calon PH dalam Akuan Berkanun mereka.


Hal ini seharusnya tidak dilayan kerana sebelum Mahiaddin jatuh pun beberapa pemimpin GPS telah menyatakan sokongan kepada PN. Tidak mungkin dalam sehari perkara terseut boleh berubah. Apatah lagi secara logiknya pemimpin GPS mempunyai akhlak saling tidak tumpah sebagaimana pemimpin Umno di Semenanjung. Tidak mungkin mereka selesa dengan idea reformasi total.


Tidak hantar SD


Keadaan semakin buruk pada petang Jumaat apabila tersebar di WhatsApp group kononnya Pejuang dan Warisan tidak menghantar SD kepada Yang di-Pertuan Agong.


Mesej ini merupakan kemuncak kemarahan penyokong PH. Cacian dilontarkan terhadap Tun Mahathir dan pengikutnya, juga Datuk Seri Shafie Apdal dan pemimpin Warisan.


Tidak mengapa sekiranya penyokong PH mempunyai pendapat peribadi terhadap kedua-dua tokoh Pejuang dan Warisan itu berdasarkan pengalaman lalu.


Namun perbuatan menyebarkan perkara tidak benar adalah fitnah. Mengikut logik akal pun tidak mungkin kedua-dua parti itu tidak menghantar SD. Sedangkan Agong menitahkan GPS perlu menyokong salah satu nama sebagai PM dan tidak menerima sikap berkecuali, mana mungkin Pejuang dan Warisan dibenar tidak menghantar SD dan Agong tidak menitahkan sebaliknya?


Lebih berat lagi hasutan yang disambut oleh penyokong PH itu mencemar integriti Istana Negara. Bagaimanakah soal tidak menghantar SD boleh bocor sedangkan semua urusan dalam proses temuduga pelantikan PM tersebut bukan untuk pengetahuan umum.


Timbul persoalan, sejauh manakah penyusupan cytro musuh dan kemungkinan juga JKOM telah berlaku dan seberapa dalam?


Melihat daripada naratif yang dibina dengan beberapa variasi mesej yang dihantar, diyakini pihak musuh semakin canggih dan terancang. Mungkin juga mereka menggunakan teknologi terkini, robot yang menguasai akaun-akaun bukan organik di Facebook, WhatsApp atau sebagainya.


Dalam hal ini pihak PH perlu mempersiapkan penyokong dengan pemikiran logik baharu dalam menapis propaganda musuh pada masa hadapan.


Bagi aktivis media sosial PH pula, jangan terlalu ghairah menyebarkan berita yang tidak diyakini logiknya. Mujurlah peristiwa drama swasta yang dimainkan Presiden Umno Zahid Hamidi sejak beliau menarik sokongan Umno dari Mahiaddin ini bukan proses kempen pilihan raya.


Bayangkan sekiranya PH berada dalam mood PRU dan dimainkan isu melaga-lagakan antara Amanah, KEADILAN dan DAP. Tentunya rakyat yang bersikap mahu menyokong PH akhirnya memutuskan tidak keluar mengundi atau mengundi kerajaan semasa. Sesuatu harus dilakukan segera bagi mengelakkan PH kalah dalam perang saraf di media sosial.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page