Waspada aktiviti penipuan sempena musim agihan bantuan - Fahmi
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan aktiviti penipuan dalam talian, terutamanya menjelang musim pembayaran bantuan dan persiapan perayaan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, pihak tidak bertanggungjawab khususnya sindiket penipuan kerap memanfaatkan tempoh ini untuk menjerat mangsa.
"Sedikit peringatan, semua orang yang berusia 18 tahun ke atas akan mendapat Sumbangan Asas Rahmah atau SARA, semua akan dapat RM100.
"Berwaspada kerana pada waktu inilah scammer akan berleluasa. Mereka anggap ini musim untuk ‘memancing’ mangsa. Sekiranya tuan-tuan menerima SMS yang mengandungi pautan hyperlink, sila jangan tekan," katanya dipetik.
Terdahulu, Fahmi hadir merasmikan Hari Keselamatan Internet 2026 di ibu negara pada Ahad.
Sebagai rekod, pembayaran Sumbangan Asas Rahman (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun akan mula disalurkan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Menerusi ucapan di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada Januari lalu berkata, sumbangan itu bagi membantu rakyat Malaysia untuk melakukan persiapan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan pihak kerajaan dan NGO MyKasih telah meningkatkan kapasiti sistem bagi memastikan pelaksanaan pembayaran SARA berjalan lancar tanpa gangguan seperti yang berlaku pada hujung tahun 2025.
Sementara itu beliau turut mengingatkan penerima sumbangan tersebut agar tidak terburu-buru menebus inisiatif tersebut kerana ia sah digunakan sehingga 31 Disember tahun ini.









Comments