Oleh: Abdullah Zaid
Pewartaan semua kawasan tanaman padi di negeri utara dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi menanggani masalah kekurangan keluasan jelapang padi di negeri Kedah dan Perlis.
Bercakap kepada Suara Keadilan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata, isu keluasan di negeri pengeluar padi itu agak membimbangkan memandangkan negara mengalami masalah kekurangan beras tempatan.
"Bagi saya, Kerajaan Negeri harus mewartakan kawasan sawah padi bagi memastikan keluasannya tidak berkurangan.
"Sekarang Kerajaan Negeri (Kedah dan Perlis) membenarkan kawasan padi dibangunkan sebagai kawasan perumahan dan pusat komersial, jadi ia memberi kesan kepada jumlah pengeluaran padi negara," katanya.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu, Kerajaan Negeri Selangor juga perlu mengambil langkah pewartaan serupa bagi menanggani masalah urbanisasi yang merebak ke daerah penanaman padi di negeri berkenaan.
"Selangor, yang mana ada sesetengah kawasan sawah dijadikan sebagai pusat agro pelancongan, jadi kebimbangan saya ia akan menyumbang pengurangan kawasan sawah di seluruh negara," ujarnya.
Oleh itu, Mahfuz berharap perbincangan melibatkan kerajaan pusat dan negeri perlu diadakan bagi memastikan isu keluasan sawah padi dapat diatasi.
"Mewartakan semua kawasan tanaman padi di negeri masing-masing perlu melibatkan perbincangan dengan kerajaan pusat, jadi saya harap semua pihak dapat mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini," ujarnya.
Untuk rekod, kawasan tanaman padi negara terus mengecil kepada 436,054 hektar berbanding 700,000 hektar pada 1980.
Daripada jumlah itu, hampir 120,000 hektar tanah terbiar dan tidak diusahakan selain 30,000 hektar kawasan padi ditukar menjadi kawasan industri dan perumahan.
Pada masa ini, Malaysia memerlukan 1.8 juta tan beras bagi menampung keperluan rakyat.
Comments