top of page

Cadangan kuota BUDI95 media dibawa ke Kementerian Kewangan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Cadangan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sebelum ini supaya pengamal media berdaftar diberikan pengecualian khas bagi mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalaman Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, pihaknya mengambil berat mengenai cabaran yang dihadapi oleh pihak media, khususnya kerana mereka banyak melakukan perjalanan untuk tugasan.


"Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah di bawah Kementerian Kewangan, jadi saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan," katanya dipetik.


Dr Fuziah ditemui pemberita selepas Program Jualan Rahmah Madani sempena pembukaan baharu Pasaraya Pantai Selamat Seindah di Kuantan pada Ahad.


Bermula 1 April lepas, had kuota bulanan individu bagi pembelian petrol BUDI95 diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter susulan konflik berterusan di Asia Barat dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.


Langkah itu susulan data purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter dengan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang 200 liter sebulan.


Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Fuziah memaklumkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) bakal ditambah lima kali bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara mulai Jun ini.


Inisiatif tersebut jelasnya bagi membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup yang semakin mencabar khususnya ketika berdepan cabaran kenaikan kos akibat krisis global ketika ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page