AMANAH cabar ADUN Pas buktikan dakwaan IPTA jual tempat


Parti Amanah Negara (AMANAH) mencabar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah mengemukakan fakta, data dan bukti jelas berhubung kenyataannya yang mendakwa terdapat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjual tempat kepada golongan tertentu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar) dalam satu kenyataan berkata, Haim Hilman bertanggungjawab membuktikan dakwaan tersebut agar pihak berkuasa dapat memulakan siasatan.
"Jika dakwaan tersebut tidak disertakan dengan bukti kukuh, ia hanya menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat serta mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.
"Haim Hilman harus berani bertanggungjawab mengemukakan bukti. Jika sebaliknya, beliau ternyata mengada-adakan pembohongan dan menimbulkan fitnah untuk meraih politik murahan," katanya.
Haim Hilman dalam satu ceramah politik di Markas Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu didakwa membuat kenyataan kononnya IPTA menafikan 30,000 pelajar yang layak kerana amalan tidak telus.
Dalam ceramah di hadapan penyokong parti itu, ADUN Jitra tersebut juga didakwa membuat tuduhan wujud unsur ‘pintu belakang’ dalam penempatan pelajar IPTA.
Sementara itu, Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan bahawa dakwaan Hail Hilman adalah sangat berat.
Hal itu, katanya bukan sahaja menyentuh integriti sistem kemasukan ke IPTA malah turut melibatkan kredibiliti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Unit Pusat Universiti (UPU), institusi pengajian tinggi awam serta ribuan pelajar yang berjaya memperoleh tempat berdasarkan proses pemilihan yang sah.
"Integriti sistem pendidikan negara tidak wajar dipolitikkan melalui tuduhan tidak berasas, sebaliknya mana-mana pihak yang membuat dakwaan serius perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan. AMANAH memandang serius dakwaan demi dakwaan dibuat oleh Haim berhubung perkara itu.
"AMANAH juga menggesa KPT memberikan penjelasan rasmi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kemasukan ke IPTA terus terpelihara," tegasnya.




Comments