Warisan jangan polemikkan isu banjir, loji air, Pan Borneo - KEADILAN Sabah
- Suara Keadilan

- Sep 22
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Sabah komited untuk terus memastikan setiap peruntukan pasca bencana disalurkan kepada mangsa, pemulihan infrastruktur asas dilaksanakan dan projek pembangunan utama termasuk Lebuhraya Pan Borneo berjalan dengan lancar demi manfaat rakyat.
Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah menyeru semua parti politik di negeri itu termasuk Warisan untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan dan penjawat awam yang menjadi tulang belakang di lapangan.
Katanya, waktu ini merupakan masa untuk bersolidariti dengan rakyat dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan tuduhan yang tidak berasas.
"Warisan sebagai salah satu parti yang membentuk Kerajaan MADANI dan memiliki seorang Timbalan Menteri (Persekutuan) seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan meremehkan sebarang usaha kerajaan dan penjawat awam menyantuni mangsa banjir di Sabah.
"Kami menegaskan bahawa usaha membantu mangsa banjir adalah tanggungjawab bersama kerajaan, NGO, komuniti setempat mahupun parti politik.
"Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kecemasan melalui NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta agensi berkaitan untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa," tegas KEADILAN Sabah dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KEADILAN Sabah turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang turun padang membantu mangsa bencana termasuk pimpinan parti pembangkang.
Bagaimanapun parti itu berpendapat, Warisan sepatutnya menyokong usaha menyelaras bantuan agar lebih tersusun dan bukannya menimbulkan persepsi negatif terhadap penjawat awam yang sedang berkhidmat.
"Penjawat awam adalah kumpulan barisan hadapan yang menjadi 'first responder' setiap kali berlaku bencana. Jangan sesekali memperlekeh jasa dan bakti mereka," kata kenyataan itu.
Berkenaan isu konsesi loji rawatan air pula, fakta sebenar ialah selepas penamatan konsesi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri sebelum 2021 gagal menyediakan pelan peralihan yang jelas dan menyebabkan bekalan air terjejas di banyak kawasan sehingga ke hari ini.
"Kerajaan GRS-PH terpaksa membuat keputusan penyelesaian luar mahkamah bagi mengelakkan risiko pampasan yang lebih besar dan memastikan operasi loji tidak terganggu.
"Tuduhan bahawa langkah ini untuk 'membersihkan isu lama' adalah tidak bertanggungjawab," bidas kenyataan itu.
Dalam isu Projek Pan Borneo, KEADILAN Sabah beranggapan Warisan seolah-olah cuba untuk melepaskan tanggungjawab sedangkan pada 2018 - 2020 mereka mengetuai Kerajaan Negeri.
Malah kata mereka, Shafie sendiri didakwa pernah membatalkan PDP dibuat atas pertimbangan politik melibatkan syarikat perunding milik ahli parti politik.
"Ironinya, selepas pengumuman itu, kelemahan penyelarasan dan ketiadaan model kewangan alternatif yang kukuh telah menyebabkan projek ini tergendala, sekali gus menangguhkan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat Sabah.
"Hari ini, Kerajaan MADANI di bawah PM Anwar bersama Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen penuh untuk mengembalikan momentum projek Pan Borneo.
"Fokus utama adalah memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual, memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta meningkatkan jaringan jalan raya yang selamat dan moden di seluruh negeri," ujarnya.
Oleh yang demikian, KEADILAN Sabah menegaskan bahawa rakyat tidak mahu terus disajikan dengan polemik siapa benar atau siapa salah, sebaliknya menuntut tindakan segera untuk menyelesaikan isu-isu asas seperti banjir, bekalan air dan pembangunan infrastruktur.
Semua pihak katanya diseru mengetepikan kepentingan politik kepartian dan mengutamakan kebajikan rakyat.









Comments